Arab Saudi bakal memperkenalkan satu lagi inovasi iaitu teksi terbang bagi memudahkan urusan perjalanan jemaah Haji, lapor Saudi Gazette.
Perkara ini disahkan Pengarah Komunikasi dan Korporat Kumpulan Saudia, Abdullah Al-Shahrani yang berkata Saudi Arabian Airlines sedang dalam persiapan untuk beroperasi dari Jeddah ke Mekkah.
Tambah menarik, teksi terbang ini merupakan pesawat elektrik Lilium yang dijana sepenuhnya menggunakan kuasa elektrik.
“Pesawat elektrik Lilium adalah salah satu pesawat pertama yang beroperasi sepenuhnya menggunakan kuasa elektrik.
“Setelah menyelesaikan urusan yang diperlukan, pesawat ini akan terbang bersama tetamu Allah pada musim Haji dan Umrah dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah ke lapangan terbang di hotel berhampiran Masjidil Haram di Makkah,” katanya kepada Al-Arabiya.
Beliau juga berkongsi bahawa teksi terbang ini berupaya untuk memendakkan masa perjalan para jemaah dan paling penting pesawat ini merupakan teknologi mesra alam.
“Pesawat Lilium dicirikan dengan kadar pelepasan karbon yang rendah dan merupakan pesawat mesra alam.
“Sekali gus menjadikannya mempunyai salah satu kemungkinan dalam mengekalkan perjalanan udara dan memendekkan masa penerbangan, kerana ia meliputi jarak maksimum 250 kilometer.
“Melalui pembelian hampir 100 pesawat, Saudi Airlines berhasrat melancarkan perkhidmatan lanjutan untuk menghubungkan beberapa destinasi perjalanan melalui pesawat elektrik canggih ini.
“Teksi terbang juga akan menjadi perkhidmatan udara antara lapangan terbang utama dari tempat Saudia beroperasi,” katanya.
Tambahnya lagi, teknologi ini merupakan satu langkah ke hadapan bagi meningkatkan kualiti sektor pengangkutan dan pelancongan Arab Saudi itu sendiri.
“Ini adalah satu langkah penting dalam merangka usaha menambah baik sektor pengangkutan udara di negara ini.
“Secara tidak langsung, inisiatif ini akan menyumbang dalam merangsang kemampanan sektor pelancongan melalui penerbangan tanpa pelepasan,” tambahnya.