Sejak kebelakangan ini, ramai mencari kek tapak kuda yang tular di media sosial Malaysia. Malah, difahamkan kek ini turut diminati oleh warga Korea!
Perkara ini dikongsikan oleh pengguna TikTok, fikriakram91 menerusi satu hantaran di platform berkenaan baru-baru ini.
Secara ringkas, kek tapak kuda ialah sejenis kek yang memiliki bentuk seperti tapak kuda. Kek ini diminati ramai kerana isinya yang lazat.
Pada awalnya, kek tapak kuda diisi dengan Nutella. Bagaimanapun, kek ini muncul dengan pelbagai isi yang berbeza termasuk matcha crunchy dan Biscoff crunchy.
Difahamkan ramai yang meminati kek tapak kuda jenis matcha crunchy. Atas sebab itu, fikriakram91 menempah dua kek tapak kuda berintikan Nutella dan matcha crunchy menerusi kakaknya.
Setelah itu, dia meminta bantuan seorang rakan untuk membawa dua kek tersebut ke Korea Selatan untuk dihantar kepadanya.
Selepas kek tersebut dipotong dan dihidangkan atas meja, ramai rakan sekerjanya mula teruja untuk merasai kek tapak kuda.
Sambil mereka makan kek berkenaan, fikriakram91 menceritakan kesukaran mendapatkan kek ini. Ini kerana kek tapak kuda biasanya sudah habis terjual dalam tempoh beberapa minit.
Meskipun ini kali pertama merasai kek berkenaan, rakan-rakan sekerjanya dari Korea Selatan menikmati kelazatan kek tapak kuda.
Tidak hairanlah di ruang komen TikTok, ada yang merasa cemburu kerana tidak berpeluang menikmati kek tapak kuda seperti yang dilakukan fikriakram91.
Pada masa sama, ramai memuji keluhuran budinya kerana sudi berkongsi rezeki termasuk masakan Malaysia dengan warga Korea Selatan.
Sebelum ini, fikriakram91 pernah berkongsikan video rakan-rakan sekerja Korea menikmati roti jala dan kari ayam yang dihasilkannya sendiri.