LaparPo
Warga Bangladesh Ditahan Bawa Kenderaan Lawan Arus
Berita
Berita Harian/Polis Daerah Kota Tinggi

Seorang lelaki yang memegang kewarganegaraan Bangladesh ditahan polis semalam selepas didapati memandu secara melawan arus.

Insiden ini berlaku di Kilometer 26.5 Jalan Johor Bahru-Mersing. Insiden ini tular di media sosial selepas dimuatnaik pengguna yang merakam tindakan lelaki tersebut semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora, rakaman tular berkenaan dikesan oleh Bahagian Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi pada jam 2.30 petang semalam.

“Video memaparkan sebuah kereta jenis Nissan Almera berwarna putih dipandu secara melawan arus atau songsang membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

“Suspek berusia 43 tahun ditahan pada jam 3.15 petang di kawasan hentian bas Kota Tinggi dan dibawa ke balai polis bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Saringan awal ujian air kencing mendapati warga Bangladesh tersebut bebas daripada pengaruh dadah. Pemandu tersebut juga tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya.

Jika didapati bersalah, lelaki tersebut berdepan hukuman penjara lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi daripada RM15,000.