LaparPo
Warga Antarabangsa Rindukan Litar Sepang
Berita
Formula 1

Bagi mana-mana pelumba mahupun peminat Formula 1 (F1), ramai mengatakan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai antara litar ikonik dalam sukan permotoran itu.

Jadi, tidak hairanlah ada berharap agar F1 kembali ke Malaysia selepas kali terakhir menganjurkan perlumbaan tersebut pada tahun 2017.

Baru-baru ini, wujud khabar angin bahawa perlumbaan Grand Prix Malaysia bakal kembali diadakan di SIC menerusi inisiatif syarikat gergasi petroleum negara, Petronas.

Bagaimanapun, khabar tersebut pantas dinafikan oleh Petronas menerusi satu kenyataan media yang dibuat pada 31 Januari lalu.

“Petronas merujuk kepada laporan media yang disiarkan pada 31 Januari 2024 berkenaan penganjuran semula Formula Satu (F1) di Sepang Malaysia, pada 2026.

“Kami ingin mengesahkan bahawa tiada sebarang perbincangan mengenai penganjuran semula sukan itu di Litar Sepang Antarabangsa Petronas,” katanya.

Kenyataan ini meranapkan impian peminat F1 terutama yang dari luar negara yang ingin melihat jentera F1 kembali bersaing di SIC.

Bagi seorang pengguna Facebook, Alex Sueno Audi, SIC disifatkan antara litar perlumbaan F1 yang terbaik. “Salah satu daripada litar perlumbaan terbaik,” katanya.

Perkara ini turut dipersetujui oleh seorang lagi pengguna Facebook, Simon Mackey. Dia yang sempat melihat Grand Prix Malaysia yang terakhir pada 2017 menganggap Sepang sebagai litar terbaik F1.

“Litar terhebat. Perlumbaan hebat yang digabungkan dengan faktor cuaca dan para pemandu amat menyukainya. Saya gembira dapat menghadiri perlumbaan terakhir (F1 di Malaysia),” ujarnya.

Selain peminat F1, pelumba F1 juga turut memilih Sepang sebagai litar kegemaran mereka. Salah seorang daripadanya ialah juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton.

Hamilton mempunyai banyak kenangan manis setiap kali berlumba di SIC. Ini termasuk meraih kejayaan podium kedua dalam perlumbaan keduanya sebagai pemandu F1 pada tahun 2007.

“Litar ini hebat untuk memandu (jentera F1) di situ. Saya tiba di sini pagi tadi dan berada dalam kereta bersama Toto Wolff bila kita memandu melepasi litar Sepang.

“Kita mengenang tentang masa yang hebat kita pernah rasai bila berlumba di situ. Ini akan jadi (pengalaman) epik memandu di situ dengan jentera baru terutama jentera tahun lepas (2021).

“Litar ini akan sentiasa mendapat tempat istimewa dalam hati saya kerana di sinilah tempat saya mendapat podium kedua dalam perlumbaan kedua karier F1 saya,” katanya seperti dilaporkan The Vibes pada 2022.

Perlumbaan terakhir F1 di Sepang pada 2017 menyaksikan Max Verstappen muncul juara. Sementara Hamilton dan Daniel Ricciardo pula masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.