LaparPo
Wanita Mati Jatuh Kondominium Ditolak Kekasih
Berita
Monkey D. Odro Ashborn

Penduduk di sebuah kondominium di Setia Alam, Shah Alam dikejutkan dengan insiden seorang wanita ditolak dari tingkat 23 semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim memaklumkan pihak polis menerima laporan insiden tersebut pada jam 10.02 malam. 

Siasatan polis mendapati mangsa wanita tersebut ialah seorang wanita warga Thailand berusia 32 tahun dan tidak bekerja.

Mengikut keterangan saksi, berlaku pergaduhan antara suspek dan mangsa sebelum wanita berkenaan ditolak dari tingkat 23 sebelum terjatuh di tingkat tujuh kondominium terbabit.

Susulan itu, suspek yang juga teman lelaki mangsa ditahan pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

“Suspek iaitu lelaki tempatan berusia 37 tahun ditahan di lokasi kejadian pada 10.10 malam.

“Hasil semakan mendapati lelaki itu yang juga pemandu lori mempunyai tujuh rekod jenayah dan satu rekod dadah. Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis kanabis,” katanya seperti yang dilaporkan Buletin TV3.

Orang ramai yang memiliki maklumat berkenaan kes ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Muhammad Khairi Kamaruddin di talian 012-2666025.