Kisah seorang lelaki yang koma tetapi tetap berzikir yang dikongsikan Ustazah Asma Harun mencuri perhatian warga maya baru-baru ini.
Kisah ini dikatakan berlaku di sebuah negara Arab. Pada satu masa, lelaki yang berstatus warga emas itu hadir ke satu majlis ilmu bagi mendengar syarahan agama.
Syarahan tersebut menyentuh bab ilmu dan kewajipan menyampaikan ilmu. Agamawan yang menyampaikan syarahan tersebut kemudiannya membacakan satu hadis Rasulullah s.a.w berkenaan menyampaikan ilmu.
Hadis tersebut berbunyi mafhumnya: “Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat.” (Riwayat Bukhari).
Lelaki tersebut berfikir, “Macam mana aku nak sampaikan ilmu? Aku orang biasa, aku bukannya orang berlatar belakangkan agama. Aku ini orang biasa.”
Kemudian, lelaki itu menghafal satu hadis Rasulullah s.a.w dan berazam untuk menyampaikannya kepada semua orang yang ditemuinya termasuk ahli keluarganya.
Hadis yang dimaksudkan ialah ini mafhumnya: “Dua kalimat yang dicintai oleh Ar Rahman, ringan diucapkan di lisan, namun berat dalam timbangan (amalan) iaitu subhanallahi wa bihamdih, subhanallahil ‘azhim (Maha Suci Allah, segala pujian untuk-Nya. Maha Suci Allah Yang Maha Mulia).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Tidak lama selepas itu, lelaki berkenaan ditimpa kemalangan dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Lelaki itu kemudiannya dalam keadaan koma. Apa yang menarik perhatian doktor dan jururawat di hospital ialah mulutnya terkumat-kamit membacakan sesuatu.
Ikut logik, pesakit yang berada dalam keadaan koma sepatutnya tidak memberi maklum balas apa-apa. Atas rasa ingin tahu, doktor dan seorang ahli keluarga lelaki itu cuba mendengar apa yang dikatakannya.
Rupanya kalimah yang cuba diucapkan lelaki tersebut ialah kalimah hadis yang dinyatakan di atas. Kemudian, lelaki tersebut mengucapkan dua kalimah syahadah sebelum meninggal dunia.
Kisah yang dikongsikan Ustazah Asma itu menyentuh hati ramai pengguna media sosial. Ini kerana kisah berkenaan menunjukkan betapa besarnya rahmat Allah s.w.t ke atas individu yang menyampaikan ilmu sehingga ke akhir hayat.