LaparPo
Usahawan Tiktok Kongsi Bayar Zakat Cecah RM4 Juta
Inspirasi
Mr Bentong Hafiz Oon

Dengan meraih jualan yang tinggi dalam perniagaan makanan dan minuman kesihatan, seorang usahawan Tiktok yang dikenali dengan nama Mr Bentong Hafiz Oon berkongsi bayaran zakat yang dilaksanakannya untuk tahun 2023.

Pemilik nama penuh Hafiz Oon Jun Seong ini difahamkan telah melaksanakan bayaran zakat perniagaan yang agak tinggi iaitu sebanyak RM4 juta.

Dalam satu video yang dimuatnaik Hafiz Oon di aplikasi Tiktok, sebanyak RM2 juta zakat perniagaan telah dibayar kepada Pusat Kutipan Zakat Negeri Pahang manakala RM2 juta lagi telah diserahkan kepada Pusat Pungutan Zakat-MAIWP.

Usaha tidak mengenal erti lelah Hafiz nyata berbaloi. Untuk pengetahuan semua, Hafiz merupakan seorang usahawan Tiktok yang sangat rajin membuat jualan secara ‘Live’ di Tiktok.

Usahanya itu telah membuahkan hasil apabila semakin hari, semakin ramai yang menyedari kewujudan produk yang dihasilkan beliau.

Antara produk makanan dan minuman kesihatan yang dikeluarkan oleh Hafiz Oon adalah Enzem Halia Mr Bentong, Majan Madu Jantan Mr Bentong, Enzim Bara Original Mr Bentong dan Madu Hutan Asli Mr Bentong.

Enzem Halia Mr Bentong merupakan produk yang paling laris terjual setakat ini dengan merekodkan 290,400 botol telah terjual setakat ini diikuti Majan Madu Jantan Mr Bentong yang sudah mencapai jualan sebanyak lebih 150,000 botol.

Bukan itu sahaja, malah beberapa kedai Mr Bentong juga telah diserbu pelanggan dari serata Malaysia termasuk pelanggan dari Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Dengan sambutan yang luar biasa diterima Hafiz Oon, tidak mustahil usahawan muslim ini mampu membayar zakat yang tinggi berdasarkan apa yang telah diraih sepanjang tahun 2023.