LaparPo
Unit PDRM Kelantan Musnahkan Bom Di Lapangan Terbang Sultan Ismail
Berita
Kosmo

Warga Kelantan yang berada di sekitar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu hari ini digemparkan dengan penemuan sebuah bom di situ.

Bom yang dipercayai bom era Perang Dunia Kedua (WWII) itu ditemui oleh pekerja-pekerja projek semasa sibuk menggerakkan kerja penaiktarafan lapangan terbang berkenaan.

Susulan itu, satu Unit Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan dihantar ke situ bagi memusnahkan bom berkenaan.

Selepas kawasan tersebut dikosongkan atas faktor keselamatan, bom kemudiannya diletupkan oleh Unit Bom PDRM.

Video Unit Bom PDRM meletupkan bom tersebut dikongsikan oleh akhbar Kosmo menerusi satu hantaran video di media sosial rasmi mereka hari ini.

Seorang pengguna Instagram bernama grungelegion percaya inilah bunyi kuat yang didengar penduduk di kawasan sekitar lapangan terbang antara jam 1.00 hingga 2.00 petang hari ini.

Disebabkan bunyi bom yang kuat semasa diletupkan, dia menyangka itu bunyi guruh atau petir.

“Ini yang bunyi kuat dalam pukul 1.00-2.00 petang tadi ke? Kalau ya, patutlah (bunyi) kuat lain macam, ingatkan guruh atau petir,” katanya di ruang komen Instagram.

Insiden penemuan ini dijangka tidak menjejaskan kelancaran projek penaiktarafan LTSIP. Projek ini dijangka siap pada tahun 2024.