Satu video di TikTok yang memaparkan seorang individu yang bersolat sambil mendukung anaknya tular sejak semalam.
Pengguna TikTok, ael_hakiem memuatnaik video berdurasi 20 saat memaparkan seorang individu mendukung anak semasa menunaikan solat berjemaah di sebuah masjid di Indonesia.
Apabila semua jemaah sujud, si bapa meletakkan dahulu anaknya di bawah sebelum melakukan sujud.
Kegigihan individu tersebut mendukung anaknya semasa solat menyentuh hati ramai pengguna media sosial.
Bagaimanapun, ada juga yang tertanya-tanya sama ada perkara ini dibolehkan atau tidak kerana dikhuatiri menjejaskan kualiti solat.
Isu individu mengendong anak ketika bersolat pernah ditanyakan kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) tidak lama dahulu. Pada hemat PMWP, perkara ini tidak menjadi satu masalah.
Ini kerana Rasulullah s.a.w juga pernah mendukung cucunya, Umamah r.a semasa bersolat. Ini berdasarkan satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah r.a:
Aku melihat Rasulullah s.a.w menjadi imam kepada orang ramai dalam keadaan beliau mendukung Umamah binti Abi Al ‘Ash di atas tengkuk baginda. Apabila baginda rukuk, baginda meletakkannya dan apabila baginda bangun, baginda mengangkatnya semula. (Hadis Riwayat An-Nasa’i).
PMWP berpandangan tidak menjadi satu masalah bagi individu yang bersolat sambil mendukung anak dengan syarat si kecil itu suci daripada najis.
Bagaimanapun, PMWP mengesyorkan sekiranya individu yang bersolat merasa sukar untuk fokus sambil mengendong anak, maka lebih elok bagi individu itu meminta individu yang berkelapangan dan boleh dipercayai untuk menjaga si kecil itu.