LaparPo
Tular Insiden Pemandu Grab Dikatakan Naikkan Tambang Sesuka Hati
Berita
The Malaysian Reserve

Selain pengangkutan awam, rakyat Malaysia turut menggunakan perkhidmatan e-panggilan seperti Grab untuk pergi ke mana-mana dengan harga tambang yang berpatutan.

Namun begitu, sejak kebelakangan ini, ramai pengguna merungut tentang harga tambang perkhidmatan Grab.

Ini kerana mereka merasakan tambang yang dikenakan terlampau tinggi apabila hendak pergi ke mana-mana. Antara pengguna yang terkesan ialah pengguna X, eKharus™ at Hiraeth.

Dia tidak berpuas hati apabila tambang perjalanan sejauh 10 km dicaj pada harga RM44. Sedangkan tambang sebelumnya untuk jarak perjalanan yang sama hanya berharga RM17.

“Ini laluan 10 km yang biasanya dikenakan tambang RM17. Grab dikatakan sudah ada monopoli, jadi surcaj ikut suka hatilah.

“Laluan ini memang tiada pengangkutan awam sesuai (sebagai alternatif). Bayangkan apa yang akan berlaku jika mereka beli perniagaan FoodPanda?” katanya.

Kebiasaannya, bagi pengguna Grab, pengguna dinasihatkan memilih perjalanan selain daripada waktu puncak kerana caj tambang yang tinggi.

Ini menyebabkan ada yang percaya tambang perjalanan dinaikkan sesuka hati berikutan dominasi Grab dalam pasaran e-panggilan Malaysia ketika ini.

Bagaimanapun, ada yang berpandangan hal ini berlaku disebabkan tindakan sesetengah pemandu menolak penawaran tambang asal yang dibuat Grab.

Ini kerana mereka merasakan tambang rendah bagi sesebuah perjalanan tidak berbaloi dengan masa dan tenaga yang diberi mereka sebagai pemandu.

Hal ini mendorong ramai warga maya mencadangkan pilihan alternatif seperti inDrive, Maxim dan AirAsia Ride.

Salah seorang yang mencadangkan hal itu ialah pengguna X, Adzizi. Dia melihat aplikasi e-panggilan alternatif seperti Maxim dan AirAsia Ride mampu bantu pengguna membuat pilihan yang lebih baik.

“Ini bukan monopoli tetapi kebergantungan pelanggan kepada satu-satunya perkhidmatan (e-panggilan). Bagus jika pasang aplikasi e-panggilan lain, mungkin AirAsia (Ride) atau Maxim sebagai alternatif,” ujarnya.

Dengan adanya alternatif selain Grab, pengguna bukan saja mampu membuat pilihan yang lebih baik apabila merancang perjalanan ke mana-mana.

Malah, ini membantu mereka bijak merancang perbelanjaan bila menggunakan aplikasi e-panggilan seperti Grab.