LaparPo
Tourism Malaysia Sasar 5 Juta Pelancong China Ke Malaysia Tahun 2024
Berita
AFP

Bagi memperkukuh sektor pelancongan negara, Tourism Malaysia mensasarkan kehadiran lima juta pelancong China ke Malaysia untuk tahun 2024.

Akhbar The Star melaporkan sasaran ini dibuat dengan mengambil kira faktor kekerapan penerbangan dari China ke Malaysia dan kemunculan syarikat-syarikat penerbangan baru negara itu.

Dua faktor ini dilihat penting dalam mempromosikan negara sebagai antara destinasi pelancongan pilihan warga China.

“Kita menggalakkan lebih banyak penerbangan sewa khas (dari China) untuk melaksanakan inisiatif tersebut dan sebagai contoh, kita berusaha untuk menambah frekuensi penerbangan mungkin dari dua kali seminggu kepada sasaran empat penerbangan seminggu,” kata Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar.

Sasaran ini juga dilihat selaras dengan usaha Tourism Malaysia untuk merancakkan lagi industri pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Malah, ini secara tidak langsung mampu mengeratkan lagi hubungan yang terjalin antara kedua-dua negara. Tahun 2024 merupakan ulang tahun ke-50 terjalinnya hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China.

Sasaran ini juga mampu dicapai disebabkan pengenalan insiatif pengecualian visa selama 30 hari untuk rakyat China dan India ke Malaysia.

Inisiatif ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 November 2023.