LaparPo
TMJ Dilantik Pemangku Sultan Johor
Berita
HRH Crown Prince of Johor

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim dilantik sebagai Pemangku Sultan Johor berkuatkuasa hari ini.

Perlantikan Tunku Ismail mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli memaklumkan perlantikan tersebut menerusi satu kenyataan kepada media hari ini.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan bagi negeri dan jajahan takluk negeri Johor dengan nasihat dan persetaan Jumaah Majlis Diraja dan dengan kuasa dan kehendak Fasal 9(1)(d) dan (3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 telah suka dan berkenan melantik Waris Takhta Kerajaan Johor, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail sebagai Pemangku Sultan Johor.

“Pelantikan ini hendaklah berterus selama Sultan Ibrahim menjalankan kerja-kerja Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan.

Sultan Ibrahim turut berkenan memberi gelaran kehormatan bagi Pemangku Sultan Johor hari ini.

Sepanjang tempoh bergelar Pemangku Sultan Johor, baginda akan memakai gelaran Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atau DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

Gelaran kehormatan ini hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan termasuk persuratan, ucapan dan doa.

Tunku Ismail merupakan putera sulung Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Baginda dilantik sebagai Raja Muda Johor pada April 2006 sebelum dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor empat tahun kemudian.

Sultan Ibrahim bakal memegang peranan sebagai Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang di-Pertuan Agong Ke-17 berkuatkuasa pada 31 Januari ini.