LaparPo
Tindakan Murid Hantar ‘Kertas Kosong’ Ketika Peperiksaan Undang Tanda Tanya
Berita
Alberto G./CC BY 2.0

Laman media sosial kecoh apabila pengguna X berstatus guru mendedahkan tindakan ramai pelajarnya menghantar kertas peperiksaan kosong.

Pengguna X, The Teh Original percaya hal ini berlaku disebabkan mereka memiliki cita-cita bergelar pempengaruh di media sosial.

Menerusi satu perkongsian di laman media sosial itu, dia mendedahkan 90% daripada 32 orang pelajar telah menghantar kembali kertas peperiksaan tanpa sebarang jawapan.

Kebanyakan bahagian yang tidak dijawab oleh muridnya ialah soalan struktur dan esei. Ini memaksanya memberi markah kosong kepada pelajar yang langsung tidak menjawab kertas ujian tersebut.

“Tak nak mencuba pun. Kertas soalan lawa, licin, bersih lagi. Macam mana dapat, macam itu dipulangkan. Cuma jawab soalan Bahagian A objektif sahaja,” katanya.

Dalam perkongsian sama, The Teh Original turut memberi markah kepada pelajar yang cuba menjawab kertas peperiksaan yang diberi.

Apabila mengetahui cita-cita mereka bergelar pempengaruh, hal ini membuatkannya kecewa. Ini kerana The Teh Original berharap pelajar-pelajar ini dapat menyambung pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Jika itu dapat direalisasikan, mereka dapat mengubah masa depan diri dan keluarga ke arah yang lebih baik.

“Aku ini bukanlah guru cemerlang, tapi bab akademik budak keutamaan yang jelas. Sekali sudah ajar, akan jaga dan pastikan budak itu sampai sambung belajar.

“Bukannya sekadar, “Belajar sini, habis sini.” Pantau pasal kerja rumah, ambil tahu latar belakang dia, kewangan (dan) emosi,” tambahnya di X.

Pendedahan ini timbul selepas seorang selebriti dan pempengaruh media sosial, As’ad Motawh mendakwa sekolah tiada nilai dan belajar di situ hanya membuang masa saja.

Dakwaan yang dibuat penyanyi berusia 22 tahun itu mengundang kecaman ramai warga maya termasuk selebriti di media sosial.