LaparPo
Tindakan Lelaki Kawal Trafik Bantu Jentera Bomba Bergerak Curi Perhatian Ramai
Inspirasi
@eklinamit_

Seorang penunggang motosikal mencuri perhatian ramai apabila membantu jentera bomba yang terperangkap dalam kesesakan dapat bergerak ke tempat kemalangan di Banting, Selangor.

Menerusi perkongsian seorang pengguna TikTok bernama eklanamit_, lelaki tersebut meminta kenderaan yang bergerak di kedua-dua hala jalan agar bergerak ke tepi.

Setelah itu, dia membantu jentera bomba keluar dari laluan trafik dan bergerak dengan lancar ke tempat kecemasan.

Jentera bomba ini dipercayai datang dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Dalam hantarannya di TikTok, eklanamit_ memuji tindakan individu tersebut dan mendoakan semoga Allah membalas jasanya kerana mempermudahkan urusan orang lain.

“Semoga abang diberikan kesihatan yang baik. Dimurahkan rezeki atas jasa dan bakti yang telah dicurahkan. Hanya Tuhan yang mampu membalas jasa baik kamu,” katanya.

Sejak video tersebut dimuatnaik di TikTok semalam, video ini telah ditonton sebanyak 2.5 juta kali, 155,000 like dan 7,713 komen.

Ramai pengguna TikTok turut memuji tindakan individu berkenaan dan berharap ia menjadi contoh yang baik kepada orang ramai.

Di ruang komen, eklanamit_ turut menasihatkan pengguna jalan raya sekiranya ada jentera kecemasan di jalan raya, mereka diharap dapat memberi laluan.

Ini sekurang-kurangnya mempermudah perjalanan trafik dan membolehkan jentera kecemasan dapat tiba dengan pantas di tempat kejadian.