LaparPo
Tangisan Di Qatar Terbayar, Derrick Gan Bakal Terima Motor Honda RS150
Berita
Astro Arena/Ahmad Alhafiz Najmi

Susulan pendedahan kisah penyokong Harimau Malaya, Derrick Gan menjual motor agar dapat ke Qatar, kisahnya mendapat perhatian ramai.

Ini kerana ramai tersentuh dengan pengorbanan yang dibuatnya atas dasar cinta kepada bola sepak negara.

Ini mendorong seorang pengguna Facebook bernama Ahmad Alhafiz Najmi bersedia menghadiahkan motosikal baru jenis Honda RS150 kepada Derrick.

Perkara itu diumumkannya dalam satu hantaran yang dimuatnaik beberapa jam lalu dengan syarat hantaran tersebut mendapat 10,000 perkongsian di Facebook.

Difahamkan pemberian Ahmad Alhafiz ini turut disokong oleh dua lagi pengguna Facebook, Ahmad Motorworks dan Izan Pa’an.

“Saya tak minta dana atau kumpul dana daripada kamu semua. Saya hanya minta sokongan atau setuju daripada kamu semua.

“Andai kata hantaran saya ini capai 10,000 perkongsian, saya berikan sebuah Honda RS150 pada abang Derrick Gan yang sanggup menjual Yamaha LC135 5S miliknya.

“Tanda sokongan kita pada beliau. Derrick Gan tidak patut hanya diberi pujian, beliau patut diberi penghargaan,” katanya.

Dalam tempoh beberapa jam, sasaran 10,000 perkongsian yang ditetapkan Ahmad Alhafiz berjaya dicapai.

Dia kemudiannya mengumumkan bakal menguruskan proses pertukaran geran dan penghantaran motosikal tersebut dalam masa terdekat.

“Saya masih lagi di Borneo, Ahad (naiki) penerbangan balik ke Semenanjung Malaysia. Isnin saya sibuk ada kerja, Selasa kita uruskan penghantaran.

“Siap tukar nama, geran halal. Tuan badan nak jual balik motor ini pun tiada masalah, dah jadi hak milik sendiri, saya tak masuk campur,” ujarnya di Facebook.

Nama Derrick menjadi tumpuan kerana imejnya yang menitiskan air mata selepas tamat perlawanan Malaysia-Korea Selatan tular di media sosial semalam.

Perlawanan Malaysia-Korea Selatan dalam Kumpulan E berakhir dengan keputusan seri 3-3. Romel Morales muncul wira dengan menyumbat gol penyamaan dramatik pada minit akhir perlawanan.

Meskipun gagal layak ke pusingan 16 pasukan terakhir Piala Asia 2023, keputusan semalam memberi keceriaan kepada Ekor Harimau Malaya.