Inspirasi
Astro Arena

Ramai penyokong Malaysia merasa gembira melihat skuad negara mengikat pasukan ketiga terbaik Asia, Korea Selatan 3-3 dalam aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia 2023.

Gol dramatik yang disumbang bekas penyerang KL City FC, Romel Morales bukan saja memastikan Malaysia pulang dengan satu mata.

Malah, ia memberi satu kenangan manis buat para penyokong Harimau Malaya terutama yang berada di Stadium Al Janoub semalam.

Menariknya, lensa kamera televisyen menangkap imej seorang lelaki berambut perang menitiskan air mata selepas tamat perlawanan semalam.

Siapa sangka, ada kisah menarik yang tersembunyi yang dibawa lelaki itu agar dapat bersama skuad senior negara di Piala Asia 2023.

Seorang pengguna Facebook bernama Nordin Mat mendedahkan identiti individu berkenaan sebagai Derrick Gan.

Lelaki yang berasal dari Melaka itu sanggup menjual motosikalnya pada harga RM4,500 agar dapat menampung kos perjalanannya ke Qatar untuk Piala Asia 2023.

Tangkap layar hantaran Facebook Derrick tentang motosikal yang dijual untuk menampung kos perjalanan ke Qatar. Sumber: Facebook

Pengorbanan Derrick menyentuh hati Nordin kerana itu menggambarkan dia memiliki sikap cintakan negara yang tinggi. Dan teladannya patut dicontohi oleh warga Malaysia lain.

“Beliau sanggup menjual motosikal dengan harga RM4,500 pada bulan Disember lalu demi ingin turut serta menonton Piala Asia di Qatar.

“Kenapa menonton bola sepak begitu penting bagi beliau? Boleh saja menonton siaran langsung seperti kebanyakan dari kita.

“Tambahan beliau berbangsa Cina yang kalau di Malaysia, amat jarang beraksi sebagai pemain bolasepak pula.

“Pada saya ia lambang semangat kesukanan dan patriotik yang sangat tinggi. Beliau ingin menyumbang sokongan dan sorakan di stadium walaupun dari awal tidak ramai memberi harapan kepada pasukan Harimau Malaya,” katanya.

Perkongsian Nordin membuatkan ramai penyokong kagum dengan semangat kesukanan yang ditonjolkan oleh Derrick.

Malaysia gagal layak ke pusingan 16 terbaik Piala Asia 2023 selepas hanya mengutip satu mata daripada tiga perlawanan Kumpulan E.

Meskipun tewas dalam dua perlawanan awal masing-masing menentang Jordan dan Bahrain, kesungguhan yang ditunjukkan Malaysia menentang Korea Selatan memastikan kempen ini ditutup dengan kemanisan.