Di Kampung Permatang Berangan, Sungai Petani, Kedah, terdapat sebuah taman tema air mini yang menjadi tumpuan penduduk setempat.
Berangan Aqua Park (BAP) menjadi pilihan ramai pengunjung kerana suasana desanya yang aman dan hanya terletak kira-kira 20 minit dari Sungai Petani.
Bagaimanapun, nama taman tema air mini ini mula diperkatakan di media sosial kerana dilaporkan menetapkan hanya pengunjung beragama Islam sahaja yang boleh masuk ke situ.
Ini mengundang rasa tidak puas hati sesetengah pengguna media sosial yang menggelarnya satu diskriminasi. Salah seorang daripadanya ialah pengguna X, vgnshlvnz menerusi ciapan ini, “Diskriminasi.”
Pandangan itu turut dipersetujui seorang lagi pengguna X, Loretta. Dia menggelar penetapan tersebut sebagai mengarut dan diskriminasi.
“Apa benda aparteid mengarut ini? Mengehadkan penggunaan kolam atas dasar agama?” katanya.
Bagaimanapun, ada juga yang menyokong tindakan BAP itu. Salah seorang daripadanya ialah pengguna Facebook, Norli Afrina.
Dia menyifatkan kemudahan yang disediakan BAP selesa dan mesra kanak-kanak. Norli turut menyifatkan bila pengurusan BAP membuat ketetapan, maka pengunjung juga perlu menghormati peraturan yang ditetapkan.
“Kolam BAP pilihan saya untuk bawa anak-anak dan selesa. Hormati dan akur dengan peraturan ditetapkan,” katanya.
Pandangan Norli turut dipersetujui seorang lagi pengguna Facebook, Hazwani Roslan. Hazwani melihat pendirian tersebut patut dihormati kerana itu membantu menjaga keselesaan pengunjung sepanjang berada di BAP.
“Semoga berjaya! Menarik ada taman tema air (mini) yang tak mencolok mata sangat. Tempat anda, peraturan anda,” ujarnya.
Sementara itu, pengurusan BAP memaklumkan penetapan tersebut dibuat bagi menghalang pengunjung yang memakai pakaian renang yang mencolok mata yang dilihat bertentangan dengan sentimen masyarakat tempatan.
Pengunjung bukan beragama Islam boleh mengunjungi BAP secara berkumpulan menerusi tempahan kolam peribadi pada hari Selasa jam 11.00 pagi – 5.00 petang dan pada hari Sabtu jam 7.30 malam – 12.00 malam.
Pengurusan BAP turut memaklumkan mereka tidak berdepan masalah menerima kunjungan kumpulan pengunjung bukan beragama Islam.
Bagi individu yang mahu beriadah di BAP, tiket bagi orang dewasa dan kanak-kanak ialah RM9. Sementara bagi kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah, kemasukan adalah percuma.