LaparPo
Syarikat Jerman Wujudkan Sistem Kerja Hanya 4 Hari, Gaji Tetap Penuh
Berita
Keven Law/CC BY-SA 2.0

45 syarikat di Jerman mula bereksperimen dalam meningkatkan produktiviti pekerja dengan mewujudkan sistem empat hari kerja.

Portal DW melaporkan eksperimen ini diketuai firma perunding Intraprenor dengan sokongan organisasi bukan berorientasikan keuntungan, 4 Day Week Global (4DWG). Meskipun tempoh hari bekerja dikurangkan, gaji yang diterima pekerja masih kekal sama.

Jerman menjadi negara terbaru yang mencuba inisiatif empat hari kerja. Sebelumnya, negara lain seperti Amerika Syarikat, Ireland, Afrika Selatan, United Kingdom dan Ireland turut mencuba inisiatif berkenaan.

Inisiatif yang kini membabitkan 500 buah syarikat di seluruh dunia itu menunjukkan banyak firma cenderung kepada empat hari kerja.

Ini berdasarkan kajian yang dibuat penyelidik dari Cambridge dan Boston membabitkan 3,000 pekerja di United Kingdom.

Kajian mereka mendapati 40% merasa kurang tertekan selepas inisiatif itu digerakkan dengan bilangan pekerja yang meletak jawatan berkurangan sebanyak 57%.

Kajian sama turut mendapati peningkatan purata pendapatan syarikat meningkat sebanyak 1.4% sejak inisiatif empat hari kerja dilaksanakan. Majoriti responden juga bersetuju untuk mengekalkan inisiatif itu selepas tempoh percubaan tamat.

Meskipun begitu, tidak ramai yang yakin dengan potensi inisiatif ini. Bernd Fitzenberg, seorang penyelidik dari Institut Penyelidikan Pekerjaan Jerman (IAB) di Cologne percaya syarikat terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi jika tiada peningkatan produktiviti dikesan.

“Ini akan menjadi mencabar dalam bidang-bidang di mana perkhidmatan disediakan pada waktu sebenar, waktu tetap, untuk pelanggan atau untuk orang yang perlu dijaga,” katanya.

Antara industri yang dilihat tidak sesuai untuk inisiatif ini ialah industri penerbangan, kesihatan dan keselamatan.

Di sebalik kebimbangan ini, masih ada yang melihat inisiatif empat hari kerja mampu dijayakan. Kesatuan pekerja Jerman IG Metall menyokong tempoh hari kerja yang lebih pendek buat golongan pekerja.