LaparPo
Sultan Johor Yang di-Pertuan Agong Ke-17
Berita
Royal Press Office Johor

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17.

Baginda melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara hari ini.

Turut melafaz sumpah memegang jawatan ialah DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Istiadat di Balairung Seri itu diadakan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) yang dipengerusikan oleh DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Tempoh baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong selama lima tahun itu berkuatkuasa pada 31 Januari 2024.

Baginda dipilih oleh Majlis Raja-Raja sebagai Yang di-Pertuan Agong baru menggantikan DYMM Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-263 yang diadakan pada Oktober tahun lalu.

Al-Sultan Abdullah menamatkan tempoh pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada 30 Januari lalu.

Baginda menggalas peranan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 selama lima tahun bermula 31 Januari 2019.

Sultan Ibrahim menjadi Sultan Johor kedua dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas ayahanda baginda, Almarhum Tuanku Sultan Iskandar ibni Sultan Ismail.

Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong yang kelapan bermula dari 26 April 1984 hingga 25 April 1989.