LaparPo
Singapura & Brunei ‘Lubuk’ Orang Malaysia, Gaji Cecah RM70,000
Berita
The Singapore Talks

Negara jiran, Singapura dan Brunei terus menjadi tempat pilihan rakyat Malaysia untuk meraih pendapatan yang tinggi.

Perkara ini disahkan oleh Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin menerusi laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Beliau berkata, statistik menunjukkan kira-kira 66.7 peratus tenaga kerja Malaysia yang bekerja di Singapura menerima gaji kasar di antara SGD1,500 (RM5,330) hingga SGD3,599 (RM12,780) sebulan manakala 18.5 peratus menerima gaji di antara SGD3,600 (RM12,800) hingga SGD9,999 (RM35,530).

Katanya, bagi mereka yang bekerja di Brunei pula, 41.3 peratus menerima gaji kasar bulanan di antara BND1,000 (RM3,550) hingga BND3,000 (RM10,660) dan 43.5 peratus yang lain menerima pendapatan sekitar BND3,001 (RM10,670) hingga BND10,000 (RM35,550).

Tambahnya lagi, ada segelintir rakyat Malaysia yang memperoleh pendapatan melebihi RM35,000 sebulan di sana.

“Jumlah gaji kasar bulanan tertinggi yang direkodkan di Singapura adalah SGD18,000 (RM64,000) dan BND15,000 (RM53,300) di Brunei.

Bagi kategori tahap pengajian, didapati kebanyakan mereka mempunyai kelulusan SPM atau setara dan berada di dalam lingkungan usia awal 20-an hingga lewat 30-an.

“Analisis juga mendapati bahawa lebih daripada separuh rakyat Malaysia yang bekerja dengan kelulusan SPM atau setara bekerja sebagai pekerja mahir dan separa mahir di kedua-dua negara ini.

“Bagi pekerja yang mempunyai kelulusan sarjana muda dan bekerja sebagai pekerja mahir di kedua-dua negara ini, majoritinya berumur 25 tahun hingga 34 tahun,” katanya.

Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin juga melihat corak peningkatan rakyat Malaysia yang lebih gemar berkelana ke luar negara untuk mencari kerja disebabkan beberapa faktor.

“Selain itu juga didapati kecenderungan rakyat Malaysia yang bekerja di Brunei Darussalam untuk berhijrah lebih tinggi berbanding dengan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

“Antara faktor utama kenapa rakyat Malaysia memilih untuk bekerja di Singapura atau di Brunei Darussalam adalah peluang pekerjaan dan persekitaran kerja yang baik, gaji yang lebih lumayan serta kadar pertukaran mata wang Singapura dan Brunei Darussalam yang tinggi,” jelasnya.