Tidak ramai tahu pelakon, pelawak dan usahawan terkenal, Shuib Sepahtu gemar bersedekah.
Hal ini didedahkan sendiri oleh pelawak dan penyampai radio, Shuk Sahar dalam podcast OK Let’s Go yang dihoskan oleh Dzar Ismail dan Raja Razie baru-baru ini.
Semasa mereka bekerja di stesen televisyen TV3, beliau mendedahkan Shuib menyuruh pembantu peribadinya membeli makanan sebelum ia diberi kepada pengawal-pengawal keselamatan yang bertugas.
Shuk mahu mengikut teladan rakannya itu selepas Shuib menyatakan sedekah sama sekali tidak mengurangkan harta.
“Dia ada satu benda yang aku suka untuk dijadikan contoh. Setiap pagi kami datang, masa itu kami bekerja (di stesen televisyen TV3), dia akan suruh pembantu peribadi dia beli makanan.
“Pembantu peribadi dia takkan berhenti beli makanan dan bagi kepada pengawal-pengawal di TV3.
“Itu amalan dia. Sebab Shuib pernah cakap kepada aku, bila kita bersedekah, kita takkan jadi miskin dengan sedekah. Banyak benda yang baik-baik yang dia ajar kepada aku,” katanya.
Shuk turut mendedahkan Shuib juga pernah membantunya semasa kesusahan dengan menghulurkan wang berjumlah RM10,000.
Shuib kemudiannya berseloroh dengan menyatakan itu sebenarnya pinjaman dan mahu Shuk melunaskannya. Jawapan beliau membuatkan semua panel podcast geli hati.
Dalam hantarannya di Instagram, Dzar Ismail menyifatkan teladan yang dipamerkan pelawak itu patut dicontohi.
“Shuib Sepahtu sedekah sampai RM10,000 kepada yang memerlukan. Satu perkara yang wajar dipuji dan dicontohi,” katanya.
Ramai bersetuju dengan komen beliau dan percaya ini sepatutnya dicontohi dalam kehidupan seharian.