LaparPo
Sekolah Di Kelantan Julang Nama Malaysia
Berita
SMK Rantau Panjang

Sebuah sekolah di Kelantan telah mengharumkan nama Malaysia dalam dunia inovasi baru-baru ini.

Akhbar Sinar Harian melaporkan kumpulan pelajar Tingkatan Lima SMK Rantau Panjang telah meraih pingat perak dalam Bangkok International Intellectual Property, Invention, Innovation and Technology Exposition (IPITEx) 2024.

Kejayaan itu diraih selepas mereka mengetengahkan fiscus, sejenis produk plastik yang dihasilkan daripada lendir ikan sungai seperti ikan haruan dan ikan keli.

Fiscus merupakan pembalut makanan yang mudah terbiodegradasi. Ini menjadikan bahan tersebut mesra alam

Kejayaan trio pelajar iaitu Nur Asyikhin Mohd Zafri, Nur Ain Amani Mohd Harith dan Irham Rafiq Roslan memastikan mereka berada di Korea Selatan yang meraih pingat emas.

Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas, Mahyudin Mamat menyifatkan kejayaan SMK Rantau Panjang sebagai mengejutkan tetapi membanggakan.

Ini kerana sekolah tersebut bersaing dengan beberapa negara termasuk tuan rumah kejohanan, Thailand.

“Selain Thailand selaku tuan tuan, Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong, Indonesia, Vietnam, Filipina, Poland, Romania, Arab Saudi, Jepun dan Rusia antara negara lain yang mengambil bahagian pada pertandingan yang diadakan awal Februari lalu,” katanya.

Tambahnya lagi, kejayaan SMK Rantau Panjang turut membuktikan membuktikan pelajar di luar bandar mampu meraih kejayaan jika diberikan peluang dan sokongan sebaik mungkin.

Malah, sekolah ini juga merupakan satu-satunya sekolah harian tunggal yang layak bertanding IPITEx 2024.

“Menariknya, SMK Rantau Panjang merupakan sekolah harian tunggal di Kelantan yang layak menyertai pertandingan itu.

“Untuk makluman, inovasi fiscus ini dalam proses mendaftarkan hak cipta dan cap dagangan dengan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi melindungi idea asal produk ini,” ujarnya.

Kejayaan SMK Rantau Panjang turut dibantu oleh input Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

PPD Pasir Mas menerusi Pegawai Pendidikan Daerah, Bahari Daud dan UMK banyak membantu kumpulan pelajar ini dari segi idea dan kandungan kertas cadangan.