Seorang saintis China mendedahkan berjaya menghasilkan kanak-kanak kecerdasan tiruan (AI) yang pertama di dunia.
Kanak-kanak AI ini dipanggil Tong Tong dan terhasil menerusi cetusan idea pengasas Institut Kepintaran Tiruan Awam Beijing (BIGAI), Zhu Songchun.
Tidak seperti avatar AI lain yang memiliki pelbagai personaliti dan simulasi berbeza, Tong Tong pula berada pada tahap yang lain.
Ini kerana AI tersebut direka bukan saja untuk melakukan tugasan dalam persekitaran maya tetapi juga melakukan tugas baru yang diberinya sendiri.
“Tong Tong memiliki minda dan berusaha memahami akal budi yang diajar manusia.
“Dia boleh membezakan yang baik daripada yang buruk, menunjukkan sikap dalam pelbagai situasi dan mempunyai kuasa untuk membentuk masa depan,” kata video BIGAI berkenaan Tong Tong yang dilaporkan South China Morning Post.
Songchun melihat Tong Tong mampu membawa teknologi AI lebih ke hadapan menerusi Ujian Tong yang dibuat oleh institut itu.
Ujian ini merupakan versi lebih rumit Ujian Turing bagi menilai mesin mempunyai kepintaran tingkah laku sama seperti manusia.
Bezanya di sini ialah Ujian Tong menilai kepintaran umum tiruan (AGI) bukan saja dari segi nilai sosial dan berkumpulan. Malah, ujian ini turut menguji lima ciri yang boleh diukur iaitu visi, kognisi, bahasa, emosi dan pembelajaran.
Songchun melihat ujian ini penting bagi memastikan AGI yang dihasilkan nanti mampu memberi manfaat kepada manusia.
“Untuk AGI berintegrasi dengan lancar dalam persekitaran manusia, ia perlu belajar dan melakukan tugas dalam persekitaran yang rumit, didorong oleh nilai dan pemahaman tentang akibat.
“Ini sebab kita mencadangkan Ujian Tong, hala tuju baru dalam menguji AGI yang memberi fokus kepada nilai dan keupayaan praktikal.
“Penyelidikan kita akan membimbing AGI dari segi pembelajaran dan menambahbaik keupayaannya dengan lebih berkesan dan selamat, (sekaligus) memastikan ia dapat berkhidmat kepada masyarakat dengan lebih baik,” katanya.
Songchun merupakan antara saintis terkemuka dalam bidang AI. Antara pengiktirafan yang pernah diterima beliau ialah Marr Prize daripada International Conference on Computer Vision.
Anugerah tersebut merupakan anugerah tertinggi kepada penyelidik dan saintis dalam bidang tersebut.