Ahli kumpulan senario, Saiful Apek menitiskan air matanya saat diuji hebat selepas kehilangan salah seorang sahabat karibnya, Ahmad Hamdan Mohamed Ramli, atau dikenali sebagai Hamdan Ramli kira-kira tiga hari lalu.
Menerusi satu klip yang tular di media sosial, Saiful Apek kelihatan menyampaikan tazkirah ringkas selepas proses pengebumian Allahyarham Hamdan telah selesai.
Rata-rata sahabat karibnya yang turut berada di perkarangan tanah perkuburan itu turur sebak dan menahan air mata selepas kehilangan sahabat karib yang sudah pun berjuang sejak kira-kira 35 tahun lalu dalam industri seni.
Apek merakamkan pesanan ringkas kepada rakan-rakan tentang ikatan ukhwah yang harus kekal utuh sungguhpun diuji dengan pelbagai rintangan semasa hidup.
“Kalau nak tanya tentang keburukan kami, tanyalah orang yang membenci kami, tetapi kalau nak tahu tentang kebaikan kami, tanyalah orang yang sayangi kami.”
“Hakikatnya pendapat manusia berbeza-beza tentang kita, apa yang paling penting ialah siapa kita di mata Allah.”
Beliau juga sempat menitipkan pesan agar sentiasa menjaga hubungan persaudaraan sesama Islam dengan baik.
“Ukhwah ini ibarat tasbih, ada permulaan tak ada pengakhiran. Maka peliharalah sahabat-sahabat kalian selagi ada, begitu juga keluarga kita,” ujarnya sebak.
Sebelum ini, sudah terdapat beberapa orang sahabat Hamdan yang menzahirkan ucapan takziah ketika sesi siaran langsung di pelbagai platform media sosial.