LaparPo
Saharul Ridzwan Nak Jual Mercedes “Pada Awalnya Rasa Gah, Akhirnya Terbeban”
Inspirasi
Saharul Ridzwan

Satu hantaran yang dibuat pelakon terkenal, Saharul Ridzwan di Instagram menarik perhatian warga maya semalam.

Saharul berhasrat untuk menjual kereta Mercedes Benz E Class Coupe 250 CGI yang dimilikinya sejak tahun 2018.

Beliau berbuat demikian atas alasan beliau jarang menggunakannya kecuali untuk urusan penggambaran.

Kereta ini pada asalnya dibeli dengan pinjaman bertujuan untuk menonjolkan imejnya sebagai ahli perniagaan pada ketika itu.

Walaupun pada awalnya itu membuatkan Saharul merasa gah, pada akhirnya, kereta Mercedes tersebut menjadi beban kepadanya dari segi kewangan.

Saharul bersedia melepaskan kereta Mercedes itu dengan harga RM85,000 bagi melunaskan baki pinjaman yang diambil untuk membeli kereta berkenaan.

“(Saya) beli dengan pinjaman penuh. Jadi, tiap-tiap bulan saya bayar RM1,900, dekat RM2,000 sebab saya beli kereta ini dengan harga RM200,000.

“Tahun 2018, saya baru nak mula berniaga. Jadi, ada seorang kawan saya ini beritahu,’Saharul, pakai kereta Mercedes. Kereta Mercedes melambangkan kredibiliti seseorang yang berniaga.

“Jadi, pada waktu itu, saya masih lagi berlaku. Pada awalnya, saya rasa gah tapi pada akhirnya, kita rasa itu bebanan. Sememangnya di bank, saya ada hutang RM84,000. Itu sebab saya letak RM85,000.

“Kalau nak buat penyelesaian sepenuhnya pun, dapat kurangkan sekitar RM1,000 hingga RM2,000 saja. Saya sudah periksa (dengan bank),” katanya.

Pelakon yang dikenali dengan drama Kau Aku Kita itu berharap kisahnya itu dijadikan pengajaran kepada orang ramai di luar sana agar bijak membuat pilihan terutama dari segi kewangan.

“Saya tahu masih ramai orang yang masih mampu. Tapi kalau seandainya kita kurang berkemampuan terhadap satu perkara semata-mata untuk kita nampak gah atau nak dapatkan perhatian daripada orang, elakkan. Sebab benda itu akan jadi beban kepada kita,” tambahnya lagi.

Sejak hantaran itu dimuatnaik di Instagram, ramai memuji kematangan dan sikap rendah diri yang dipamerkan pelakon Coast Guard Malaysia: Ops Helang itu.

Malah, ramai mendoakan urusan penjualan kereta yang diusahakan Saharul dapat direalisasikan.