LaparPo
Ratusan Pelarian Rohingya Lari Dari Pusat Tahanan, Seorang Ditemui Maut
Berita
Sumber Kedua/Perak Press

Hari ini, negara dikejutkan dengan berita 132 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Bidor malam tadi.

Akhbar Berita Harian melaporkan insiden tersebut dipercayai berlaku pada jam 9.50 malam semalam.

Kesemua tahanan diletak di bawah seliaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). Susulan itu, pihak berkuasa melancarkan Op Tutup bagi menjejak dan menahan semua tahanan yang melarikan diri.

Operasi tertumpu di beberapa kawasan termasuk daerah Muallim, Perak. Operasi ini membabitkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 Bidor, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan JSJ Bukit Aman

Difahamkan salah seorang daripada PATI yang melarikan diri meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan semalam.

PATI tersebut meninggal dunia selepas dilanggar kereta di Kilometer 335, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Bidor.

Orang awam yang mempunyai maklumat tentang tahanan PATI yang melarikan diri diminta menghubungi Bilik Gerakan Depot Imigresen Bidor di talian 05-4348736.

Orang awam juga boleh menyalurkan maklumat kepada Balai Polis Bidor menerusi talian 05-4342222 atau Balai Polis Tapah di talian 05-4011222.