LaparPo
Puluhan Calon SPM Ditahan, Buat Bising Ekzos Di Hulu Selangor
Berita
Mohd Redzuan Abdul Manap

Keseronokan 26 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membuat bising dengan membunyikan ekzos motosikal mereka memakan diri apabila ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam.

Harian Metro melaporkan pihak polis bertindak pantas dengan menahan semua pelajar ini berhampiran sebuah bangunan kosong di Jalan Kemboja, Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada jam 1.30 petang semalam.

Tindakan tersebut dibuat selepas mereka menerima aduan daripada penduduk dan sekolah berhampiran yang tidak tahan dengan kegiatan kurang sihat itu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim memaklumkan kumpulan pelajar tersebut kerap mengambil peluang membunyikan ekzos motosikal mereka sehingga menggugat ketenteraman awam.

“Mereka akan berkumpul di kawasan bangunan kosong untuk ‘rem’ motosikal masing-masing.

“Oleh itu, polis mengambil tindakan dengan menahan kesemua mereka yang berusia 17 tahun untuk tindakan lanjut,” katanya semalam.

Selain mereka, dua lagi pelajar yang bukan calon SPM turut dicekup polis. Kesemua pelajar ini kemudiannya diarah menolak motosikal ke Balai Polis Bukit Sentosa yang terletak kira-kira 3.5 km dari situ.

Insiden kumpulan remaja itu menolak motosikal ke balai polis tular di media sosial sejak semalam.