LaparPo
Proton Perdana Jadi Tempat Berteduh, Suami Isteri Tak Mampu Bayar Sewa
Berita
Harian Metro

Sepasang suami isteri mencuri perhatian ramai baru-baru ini kerana menjadikan kereta Proton Perdana mereka sebagai ‘rumah’ mereka.

Akhbar Harian Metro melaporkan pasangan tersebut terpaksa berbuat demikian selepas diusir dari rumah pangsa sewa mereka di Taman Bukit Kenangan.

Selain menjadikan kereta mereka sebagai ‘rumah’, mereka turut meletakkan barang peribadi di sekeliling kereta. Sesetengah barang mereka ditutup dengan plastik hitam dan kepingan kotak kadbod.

Bagaimanapun, tindakan pasangan itu meletakkan kereta di tepi tong sampah dan barang mereka yang terkumpul mengundang rasa tidak selesa dalam kalangan penduduk.

Ini kerana situasi ini menjejaskan kebersihan kawasan sekitar rumah pangsa dan berpotensi mengundang haiwan perosak seperti ular, tikus dan lipas.

Bagi pengumpul besi buruk, Ana Aziz, beliau bersimpati dengan nasib yang menimpa pasangan itu. Pada masa sama, tindakan perlu diambil untuk memastikan barang mereka tidak membahayakan penghuni rumah pangsa terutama warga emas dan kanak-kanak.

“Saya bersimpati dengan keadaan mereka, ini bukan tempat tinggal tetapi barang peribadi mereka sudah terkumpul dan kadang-kadang menghalang laluan orang ramai. Bahaya untuk warga emas dan kanak-kanak,” ujarnya baru-baru ini.

Ahli jawatankuasa penduduk rumah pangsa, S Jeevanatham memaklumkan pasangan tersebut sudah beberapa kali menerima bantuan daripada pihak berkaitan.

Aduan penduduk berkenaan hal ini juga sudah disalurkan bukan saja kepada badan kebajikan. Malah, perkara ini turut dibawa kepada pengetahuan Adun Kajang, David Cheong Kian Yong.

Wakil Adun tersebut telah memberi maklum balas kepada penduduk bahawa perkara ini akan diteliti.

“Saya tidak mahu memperbesarkan lagi perkara ini dan satu-satunya hasrat saya ialah dapat membantu mereka mencari rumah baharu atau dalam apa cara sekalipun,” katanya.

Tinjauan yang dibuat di kediaman milik pasangan suami isteri itu mendapati rumah pangsa sewa mereka telah dikunci. Difahamkan ini bukan kali pertama mereka diusir daripada kediaman tersebut.