LaparPo
Premis R&R Perasing ‘Punca’ Kematian Kes Keracunan Makanan
Berita
Amazing Terengganu

Satu kes kematian dilaporkan berpunca dari keracunan makanan di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Perasing.

Perkara ini disahkan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong yang berkata bahawa terdapat pelanggaran etika dan peraturan yang dilakukan oleh peniaga premis berkenaan setelah siasatan dijalankan oleh pihaknya.

“Sebelum ini pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman telah menjalankan siasatan terhadap premis terlibat bagi mengenal pasti punca sebenar berkaitan isu itu,“ katanya kepada media.

“Beberapa sampel makanan serta swab peralatan dan pengendali makanan telah diambil untuk membantu siasatan.

“Kita dapati terdapat pelanggaran peraturan ditetapkan dan tindakan perundangan sedang diambil ke atas peniaga terlibat,” tambahnya lagi.

Beliau juga menegaskan kebersihan serta keselamatan makanan merupakan aspek yang perlu dititikberatkan dan tindakan undang-undang akan diambil kepada pihak yang culas mengenai bab ini.

“Pastikan makanan disediakan bersih serta selamat bagi mengelakkan kes keracunan makanan kepada pelanggan khususnya dan orang ramai amnya.

“Tindakan perundangan termasuk pendakwaan ke mahkhamah akan diambil terhadap pengusaha dan pengendali makanan yang cuai dalam penyediaan makanan sehingga menyebabkan makanan yang dijual kepada orang ramai tercemar oleh bahan atau bakteria, virus dan sebagainya,” katanya.

Bulan lalu, tular di media sosial mengenai kes kematian seorang wanita di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) disebabkan oleh keracunan makanan.

Menerusi satu hantaran di kumpulan sembang Pengguna Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Facebook, seorang individu mendakwa bahawa mangsa insiden tersebut merupakan ibu saudara beliau.

Beliau juga mendakwa bahawa sebelum mangsa dikejarkan ke hospital, ibu saudaranya itu telah berhenti di RnR yamg terletak di Kemaman, Terengganu tersebut dan membeli makanan di sana.