Perdana Menteri Palestin, Mohammed Shtayyeh meletak jawatan semalam susulan keganasan berterusan rejim Israel ke atas warga Palestin terutama di Gaza.
Middle East Eye melaporkan selain sebab di atas, ahli politik dan ahli akademik berusia 66 tahun itu turut berbuat demikian demi membuka jalan kepada pembentukan kerajaan perpaduan Palestin.
Perletakan jawatan Shtayyeh yang mengetuai kerajaan di Tebing Barat dibuat selepas negara-negara lain terutama Amerika Syarikat menggesa Pihak Berkuasa Palestin (PA) agar melaksanakan reformasi politik.
Reformasi politik terutama di peringkat dalaman perlu dibuat bagi membuka ruang kepada pentadbiran Gaza selepas tamat konflik Israel-Palestin yang tercetus sejak Oktober 2023.
“Saya melihat peringkat baru dan cabaran-cabarannya memerlukan perjanjian politik dan kerajaan baru yang mengambil kira realiti baru di Gaza dan keperluan kepada sebuah konsesus warga Palestin yang berasaskan perpaduan warga Palestin dan kesinambungan perpaduan pentadbiran ke atas tanah Palestin,” katanya.
Perletakan jawatan Shtayyeh telah diterima oleh Presiden Palestin, Mahmoud Abbas. Bagaimanapun, beliau diminta kekal menerajui kerajaan sebagai pemangku Perdana Menteri sehingga seorang tokoh lain dilantik menggantikannya.
PA yang dikuasai kumpulan Fatah memiliki ruang pentadbiran terhad ke atas Tebing Barat selepas pemeteraian Perjanjian Oslo 30 tahun yang lalu.
Pada tahun 2007, Fatah kemudiannya diusir dari Gaza selepas terlibat dalam perebutan kuasa dengan satu lagi kumpulan pejuang Palestin, Hamas.
Minggu ini, semua kumpulan pejuang dan blok politik Palestin termasuk Hamas dan Fatah bakal menghadiri satu persidangan di Moscow, Rusia.
Persidangan yang dianjurkan kerajaan Rusia itu bertujuan untuk membantu semua kumpulan mencapai persetujuan bagi membentuk sebuah kerajaan perpaduan Palestin.
Usaha ini tidak disenangi rejim Israel diketuai Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu yang bertegas untuk menolak sebarang usaha pembentukan negara Palestin yang merdeka.
Sejak Israel melancarkan kempen perangnya di Gaza, lebih 29,000 warga Palestin terbunuh dengan 70,000 lagi cedera.