LaparPo
Peniaga Sedih Pasar Siti Khadijah Kosong, Pelanggan Pilih Ke Thailand
Berita
jaafarharunharun/Pasar Besar Siti Khadijah

Meskipun ketika ini masih lagi tempoh cuti sekolah, keadaan di Pasar Siti Khadijah dikatakan sepi menurut seorang pengguna TikTok.

Pengguna TikTok, jaafarharunharun mendakwa pasar berkenaan tidak banyak dikunjungi orang ramai terutama golongan orang berkeluarga sejak pagi.

Ini kerana ramai pengunjung didakwa lebih cenderung untuk pergi ke selatan Thailand terutama ke Hatyai.

Situasi ini dikatakan mengundang keluh-kesah dalam kalangan peniaga kerana tempoh cuti sekolah selalunya menyaksikan pertambahan bilangan pelanggan baik dari dalam mahupun luar Kelantan.

“Tengok saya duduk dekat pasar, takda orang dekat pasar. Kalau cuti sekolah ni selalunya penuh. Pakat pergi mana (mereka)? Hatyai? Sunyi, tiada orang walaupun cuti sekolah.

“Ini tengok ini. Akak ini duduk termenung, sedihlah tiada orang. Orang ke Hatyai, orang tak mari sudah Pasar Siti Khadijah, Hatyai beribu orang,” kata salah seorang peniaga.

Bagaimanapun, sejak video itu tular di media sosial, ia dinafikan sekeras-kerasnya kumpulan peniaga pasar berkenaan mengikut laporan Sinar Harian.

Malah, mereka percaya video tersebut sebenarnya dirakam pada tahun lepas sebelum dimuatnaik semula pada tahun ini oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Salah seorang peniaga, Rospauzilaismawati Ismail, 38, memaklumkan video tersebut dikatakan diambil pada Ogos 2023 pada jam 4.00 petang selepas peniaga kuih-muih dan manisan pulang selepas barang jualan mereka habis dijual.

“Bagaimanapun, saya dimaklumkan ia dimuat naik di media sosial oleh individu lain pada Tahun Baru Cina lalu sedangkan pada hari sama ramai pelanggan di sini.

“Suasana sunyi yang didakwa individu dalam video itu ialah kerana ramai peniaga sudah pulang, namun kami masih meneruskan perniagaan kerana menjual barangan kering,” katanya.

Perkara ini turut disokong seorang peniaga lain, Mokhtar Hashim, 44. Sepanjang berniaga di Pasar Siti Khadijah selama 15 tahun, dia tidak pernah berdepan sebarang isu di situ.

“Saya tidak menyangka, ada yang datang ke sini dan membandingkan Hatyai sedangkan ia tidak menggambarkan suasana sebenar,” katanya.

Yang pasti, penyebaran video tersebut tidak menggugat semangat warga Kelantan untuk mempromosikan tempat pelancongan terutama Pasar Siti Khadijah bersempena Tahun Melawat Kelantan 2024.