LaparPo
Peniaga Guna Roti Burger Jadi Donut Buat Pelanggan Rasa Tertipu
Resipi
Menarik Kelate Kito/Fatimah Mulyati

Dengan harga makanan yang semakin meningkat, ada peniaga yang tidak bertanggungjawab menipu pelanggan seperti menggunakan roti burger sebagai donut!

Perkara ini dialami beberapa pengguna media sosial yang kecewa dengan perilaku sesetengah peniaga yang cuba mencari keuntungan mudah.

Akaun Facebook Menarik Kelate Kito berkongsi kisah seorang pengguna bernama Ira SuYa yang kecewa selepas donut yang dibeli bukan donut sebenar.

“Roti burger kamu potong cucuk tengah jadikan donut. Suya kalau bab makan mahal ke tak sedap ke, (kita) diamkan saja. Tapi ini kira sudah menipu,” katanya.

Ira SuYa bukan satu-satunya individu yang pernah terkena hal sebegini. Seorang lagi pengguna Facebook bernama Fatimah Mulyati turut meluahkan rasa tidak puas hati tentang penipuan donut ini.

“Pergi ekspo di Pantai Irama Bachok malam ini. Tengok donut bukan main lagi warna-warni menarik. Belilah sebiji perisa strawberi, sekali anak gigit roti burger! Ya, roti burger celup coklat!

“RM3 sebiji. Patah balik pergi gerai dia nak pengesahan mana tahu dia cakap, ‘Eh kita jual roti celup coklat, bukan donut,’ Bolehlah lagi walaupun memang rupa sebiji macam donut tebuk tengah kan.

“Ini tak, dia cakap ya, ini donut. Apa lagi, saya cakap, ‘Ini bukan donut, ini roti celup coklat. Kalau roti cakap roti, donut bukan macam ini. RM3 utk roti celup coklat.

“‘Tidak mengapalah yang ini saya sudah beli biarlah tapi ini bukan donut tapi ini bukan donut.’ Boleh peniaga dia tanya staf lain, ‘Eh, ini roti ya?’ Aduh, awak yang berniaga takkan tak tahu apa yang diniagakan,” katanya panjang lebar.

Ramai pengguna media sosial yang membaca kisah ini kemudiannya menyatakan mereka pernah mengalami penipuan donut yang sama.

Tambah Fatimah lagi, penipuan donut sebegini bukan saja dilihat menganiaya pelanggan yang membeli makanan tersebut.

Bahkan, penipuan sebegini juga merosakkan keberkatan rezeki yang diperolehi peniaga tersebut untuk menyara keluarga.