Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal melaksanakan penggunaan kamera badan (BWC) secara berperingkat-peringkat bermula Oktober hadapan.
Akhbar Sinar Harian melaporkan 7,648 unit BWC bakal diterima PDRM secara berperingkat bermula pada September 2024 hingga Februari 2025.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad memaklumkan penerimaan tersebut berdasarkan Surat Setuju Terima (SST) yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam.
Sebagai permulaan, petugas Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bakal mendapat BWC sebelum diperluaskan kepada anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).
Wan Hassan turut memaklumkan BWC bakal ditempatkan di 157 ibu pejabat polis daerah (IPD) dan 640 balai polis di seluruh kontinjen di seluruh negara. Penggunaannya secara berperingkat bakal dilakukan bermula Oktober hadapan.
“BWC itu adalah untuk penugasan MPV dan URB di bawah JPJKK, selain akan diperluaskan untuk penugasan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).
“Pada masa ini, kita menjangkakan BWC akan digunakan sepenuhnya oleh petugas-petugas MPV dan URB pada Mac 2025.
“Bagi memastikan semua petugas MPV dan URB mahir dalam mengendalikan BWC, latihan penggunaan akan dilaksanakan mulai Mac 2025 hingga Disember 2025,” katanya.
Setiap anggota dan pegawai yang menerima BWC akan mendapat ID khas semasa bertugas. Malah, PDRM bakal menyenaraikan BWC sebagai pemakaian wajib bila bertugas.
“Setiap pengguna (pegawai, anggota yang memakai BWC) akan dibekalkan ID khas semasa penugasan.
“BWC ini mampu merakam video dan audio sehingga lapan jam penugasan serta akan dijadikan rakaman bukti percakapan dan perbuatan pesalah (individu yang diperiksa).
“Adalah menjadi kesalahan tatatertib bagi mana-mana pegawai atau anggota polis yang gagal mematuhi arahan pemakaian BWC ini khasnya kepada petugas Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB).
“Bagi memastikan arahan pemakaian dan penggunaan BWC dilaksanakan sepenuhnya, prosedur operasi standard (SOP) penggunaannya telah siap dan berada dalam peringkat kemas kini untuk dihebahkan kepada semua peringkat pegawai polis di seluruh kontinjen,” tambahnya.
Wan Hassan melihat penggunaan BWC bukan saja menunjukkan kesungguhan PDRM beradaptasi dengan teknologi terkini.
Malah, ini membantu PDRM memantapkan lagi tahap integriti anggota dan pegawai bila bertugas terutama di lapangan.