Usaha penduduk setempat membaik pulih jalan di Rompin, Pahang meraih perhatian warga maya.
Menurut perkongsian oleh Izzati Mohamad Amran, beliau menceritakan usaha beliau dan pasukannya untuk menurap salah satu jalan di Rompin dan membantu Jabatan Kerja Raya (JKR)
“Kami usahakan dalam Kampung Bangkong dahulu. Seterusnya akan bawa ke simpang Leban Chondong, InsyaAllah. Doakan sukarelawan Pertubuhan Amal Team Rompin dapat sama-sama berkhidmat membantu masyarakat”, tulis beliau di kumpulan sembang Facebook, Warga Kuala Rompin, Pahang (Official)
“Jom sesiapa yang nak bantu pasukan amal letak Mealing / tar lebihan di sekitar jalan Leban Chondong ke Kampung Tanam, tolong hubungi En. Izzuddin (Mohamad Izzuddin Yakub di talian 0176100848).”
Beliau juga sempat mengajak orang ramai untuk membantu bagi meringankan beban pihak JKR memandangkan sudah banyak kejadian tak diingini terjadi.
“Dah sampai masanya kita sama-sama bantu Roadcare dan JKR Rompin. Terlalu banyak kenderaan hari ini yang meletup tayar, sportrim bengkok, kemalangan dan sebagainya.”
Rata-rata komen netizen memuji tindakan murni ini dan menyambut baik inisiatif yang dijalankan supaya tiada lagi kes kemalangan yang tidak diingini berlaku di kemudian hari.
Mereka mendoakan semoga urusan pasukan ini dipermudahkan bagi membantu pengguna jalan raya untuk menggunakan kemudahan jalan raya dengan selamat.