LaparPo
Pempengaruh Terkejut Jalan Diturap Selepas Sehari Tayarnya Bocor
Berita
Ceddy/Hakim Saleh

Terima kasih kepada satu hantaran yang dibuat seorang pempengaruh media sosial baru-baru ini, isu jalan berlubang pantas ditangani oleh pihak berwajib.

Hal ini berlaku kepada seorang pempengaruh media sosial bernama Ceddy baru-baru ini. Menerusi satu ciapan di X, beliau meluahkan rasa kecewa kerana tayar keretanya bocor selepas melanggar lubang di jalan raya.

Insiden itu dikatakan berlaku sebelum beliau hendak menuju ke Plaza Tol Gombak. Pada ketika itu, Ceddy menyatakan ingin makan angin di Genting Highland.

“Ada lubang besar (di jalan raya) sebelum nak membelok ke Plaza Tol Gombak. Kereta saya kena lubang, tayar terus pancit.

“Aduh, nak makan angin di Genting (Highland) hari ini pun sudah tak jadi. Apa yang saya boleh lakukan ialah tunggu lori tunda untuk sampai (dan ambil kereta). Sekarang, siapa yang bertanggungjawab baiki lubang ini?” katanya di X.

Ceddy turut mengingatkan pengguna media sosial bahawa masalah jalan berlubang merupakan satu masalah yang serius. Ini kerana masalah ini mampu mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

“Tolong jangan anggap ini, ‘Wah, pempengaruh kena, baru kamu nak tularkan.’ Masalahnya, ini amat serius ya. Ada orang kata dia terlanggar lubang itu dan jatuh dari motosikal.

“Sekarang saya tak tahu di sini siapa punya tanggungjawab… Tengoklah terus koyak dan pecah tayar saya,” ujarnya.

Sehari selepas itu, pengguna X, hakim saleh memaklumkan bahawa jalan berlubang yang dilaporkan sudah diturap dengan masalah itu kini selesai.

Ciapan Ceddy turut mendapat perhatian Lebuhraya Pantai Timur (LPT). Mereka kemudiannya memaklumkan bahawa bahagian jalan itu terletak di bawah penyeliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Gombak.

Yang pasti, tindakan pantas pihak berwajib membaiki jalan terbabit mendapat pujian ramai pengguna media sosial kerana cakna dengan aduan semasa pengguna jalan raya.