Seorang pemilik kopitiam di Ipoh, Perak menceritakan bagaimana beliau dapat menjana pendapatan sebanyak RM1.3 juta pada tahun lalu.
Portal World of Buzz melaporkan pemilik Classic Mealody Kopitiam bernama Thomas percaya perkara ini berlaku kerana beliau menjaga kualiti bahan yang digunakan dalam perniagaannya setiap hari.
Dengan keadaan ekonomi tidak menentu, normal bagi mana-mana pengusaha makanan mendapatkan bahan makanan pada harga yang lebih murah.
Namun begitu, anak jati Kuala Lumpur itu memilih untuk tidak berbuat demikian. Ini kerana beliau percaya pelanggan boleh mengetahui perbezaan bahan yang disediakan pada makanan.
Atas sebab itu, Thomas memeriksa kualiti makanan segar yang dibawa pembekal setiap hari. Sekiranya beliau merasakan ada yang tidak kena, makanan tersebut akan dipulangkan kepada pembekal.
“Saya meletakkan piawaian yang sangat tinggi apabila ia berkait dengan bahan-bahan, jadi saya menguruskan semuanya sendiri. Saya secara peribadi percaya keikhlasan terhadap pelanggan merupakan perkara paling penting.
“Saya bertegas tidak akan merendahkan piawaian atau kualiti saya. Pada pandangan saya, anda juga boleh bertahan di Ipoh dengan menjalankan perniagaan, tidak hanya di KL atau Singapura sahaja,” katanya.
Difahamkan perniagaan kopitiam yang diusahakan Thomas di Ipoh kini sudah memasuki tahun kedua.
Walaupun beliau memiliki pilihan untuk bertapak di Kuala Lumpur, beliau gembira dengan pilihannya itu.