LaparPo
Pemilik Butik Didenda & Sebatan Kerana Tipu Pakej Kahwin
Berita
Harian Metro

Seorang pemilik butik dikenakan hukuman penjara setahun dan sekali sebatan selepas didapati bersalah atas dakwaan menipu pakej perkahwinan.

Akhbar Harian Metro melaporkan hukuman tersebut dijatuhkan Mahkamah Majistret ke atas tertuduh, Hasmerun Hashim, 31, selepas dia mengaku bersalah atas dakwaan tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan Hasmerun menjalani hukuman penjara bermula tarikh sabitan hukuman iaitu hari ini.

Tertuduh didakwa atas kesalahan menipu pelanggan dalam urusan mendapatkan khidmat perancang perkahwinan sehingga membawa kerugian RM9,000.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu seorang wanita berusia 29 tahun dengan memintanya memindahkan wang sebanyak RM9,000 secara transaksi sebanyak dua kali ke akaun CIMB.

Akaun CIMB tertuduh menggunakan nama Arjuna Cinta Wedding digunakan sebagai akaun untuk memperdaya mangsa membayar wang untuk khidmat perancang perkahwinan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kediaman di Taman Shamelin Perkasa, Cheras, pada 23 dan 25 Ogos 2023.

Hasmerun didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Sekiranya didapati bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun, sebatan dan denda.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Hasmerun memohon diberi keringanan hukuman atas alasan menanggung ibu bapa yang uzur, adik dan anak saudara.

Bagaimanapun, permohonannya dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal.

Beliau memohon kepada mahkamah hukuman yang dijatuhkan ke atas tertuduh setimpal atas jenayah yang dilakukannya.