Laman media sosial kecoh sejak semalam gara-gara tindakan seorang pemandu Tesla merempuh sebuah dinding tembok di Jalan BS 3/12, Serdang.
Insiden ini dikongsikan oleh pengguna Facebook, YC Shaun menerusi satu hantaran yang dimuatnaik pada awal pagi 4 Februari lalu.
YC Shaun percaya pemandu tersebut memandu laju kereta Tesla jenis Model S dari sebuah restoran berhampiran sebelum merempuh dinding batu berkenaan.
“Insiden di Jalan BS 3/12, Serdang. Pelanggan dari Restoran Pik Wah melanggar dinding batu-bata dan (kemudiannya) mendakwa jalan tersebut terlalu gelap untuk dilihat,” katanya.
Apa yang menarik perhatian ramai pengguna media sosial ialah keadaan kereta Tesla selepas perlanggaran itu.
Meskipun bahagian depan kereta Tesla sedikit remuk, keadaan kereta secara keseluruhannya masih dalam keadaan baik.
Ini kerana badan kereta Model S diperbuat daripada aluminium. Bahan tersebut menjadikan kereta ini bukan saja lebih ringan berbanding kereta lain.
Malah, ini menambahbaik prestasi Model S di jalan raya terutama dari segi pengendalian dan penggunaan tenaga elektrik bersesuaian dengan statusnya sebagai kereta elektrik.
Ramai tertanya-tanya bagaimana perkara ini boleh berlaku. Ini kerana mengikut peta-peta dalam talian, kawasan tersebut memang diketahui sebagai jalan mati.
Malah, Shaun memaklumkan penduduk yang duduk berhampiran dengan kawasan tersebut tahu kewujudan tembok berkenaan.
“Dinding tembok sudah ada di sini hampir 10 tahun. Pada ketika itu, bahagian lain masih belum dibangunkan dan penduduk membina tembok berkenaan bagi melindungi keselamatan mereka,” tambahnya.
Difahamkan pemandu kereta Tesla berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden tersebut.