LaparPo
Pelanggan Tersedak ‘Diketuk’ RM15.90 Untuk Secawan Air Milo
Berita
Nestle/Emoncs Tay

Seorang pelanggan terkejut apabila mendapat tahu harga sebenar secawan air Milo yang dibelinya berharga RM15.90!

Perkara ini menimpa seorang pengguna Facebook bernama Emoncs Tay semasa makan di sebuah restoran di sebuah pusat peranginan di Johor baru-baru ini.

Memandangkan dia memesan tiga cawan air Milo, dia perlu membayar RM47.40. Sementara harga roti canai pula dikenakan harga RM12.90 dengan sekeping Thosai berharga RM10.90.

Pada akhirnya, Emoncs perlu membayar RM122.20 untuk semua pesanan makanan yang diambil.

Hal ini mengundang kerisauan orang ramai tentang kenaikan harga makanan dan minuman di tempat peranginan dan tumpuan pelancong.

Lantas, ramai warga maya meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk menyiasat perkara ini.

Harian Metro kemudiannya melaporkan KPDN Johor telah menyiasat premis yang dinyatakan pada 18 Februari lalu.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo memaklumkan harga pada menu restoran tersebut didapati jelas dan tidak mengelirukan.

Pada masa sama, KPDN telah menghantar notis kepada restoran berkenaan bagi membolehkan mereka menyiasat lebih lanjut tentang hal tersebut.

“Premis berkenaan diberikan tempoh untuk kemukakan penjelasan iaitu kita memberi ruang untuk mereka untuk menjelaskan berkaitan harga.

“Isu harga munasabah atau tidak belum timbul di sini selagi pengusaha premis tidak menyerahkan nota bertulis. Selepas nota bertulis itu dikemukakan, KPDN akan menjalankan siasatan,” katanya.

Isu ini tular di media sosial lebih-lebih lagi dengan isu kenaikan harga makanan yang panas sejak kebelakangan ini.