Pelakon terkenal, Siti Fazurina mengakui tidak merasa segan menjalankan perniagaan menjual makanan di tepi jalan.
mStar melaporkan Siti Fazurina atau nama sebenarnya, Siti Fazurina Mohd Famir tidak menyangka usahanya itu bukan saja mendapat sokongan suami tercinta, Muhammad Hykal.
Malah, usahanya itu turut mendapat sokongan penduduk setempat yang melihat usahanya itu patut diberi sokongan padu.
“Mula-mula saya tidak nafikan bahawa saya risau dengan pandangan orang terhadap perniagaan di tepi jalan tetapi rupanya banyak yang memberikan sokongan.
“Saya bersyukur kerana dikurniakan suami yang memahami. Beliau memberi banyak nasihat untuk tidak terlalu memikirkan kata-kata orang.
“Saya terkejut dengan reaksi positif orang ramai yang memberikan semangat dan gembira melihat artis yang berusaha menjalankan perniagaan sendiri,” katanya.
Perniagaan makanan menjadi pilihan Fazurina di kawasan kejiranan sekitar Bandar Utama, Selangor kerana tiada penjual makanan yang menyediakan makanan berupa sarapan pagi.
“Saya mula mendapat idea untuk berniaga apabila saya sedar bahawa di kawasan perumahan saya tidak ada penjual sarapan pagi.
“Jadi dari situ saya memberitahu suami untuk menjalankan bisnes makanan dengan menjual sandwich dan nasi lemak.
“Alhamdulillah, selepas dua minggu memulakan perniagaan, sambutan yang saya terima sangat memberangsangkan.
“Jualan sandwich yang pada awalnya hanya empat atau lima paket sehari, sekarang telah meningkat hingga puluhan tempahan,” tambahnya.
Fazurina turut melihat perniagaan ini sebagai usaha untuk tidak lagi bergantung harap menunggu tawaran lakonan.
Ini kerana dengan kemunculan ramai pelakon baru dalam industri hiburan setiap tahun, produksi filem atau drama sudah pasti memberi keutamaan kepada mereka.
“Jika hanya berharap untuk mendapat tawaran berlakon, saya percaya tidak akan selamanya berada di puncak permintaan.
“Saya pernah berada di kemuncak kejayaan. Pada awalnya dalam kerjaya lakonan, saya hanya mendapat watak utama atau watak pembantu, dan tidak pernah berperanan sebagai pelakon ekstra.
“Walaupun begitu, janganlah menganggap perkara itu sebagai jaminan kejayaan selamanya kerana setiap tahun banyak bakat baru lahir dalam industri seni ini.
“Mungkin bakat kami, pelakon lama, masih diperlukan, tetapi saya menasihatkan untuk tidak terlalu berharap atau bergantung sepenuhnya pada bidang lakonan,” ujarnya.
Fazurina yang memulakan karier lakonan pada 2004 dikenali menerusi drama Puteri, Dunia Anita dan Cinta Batu Belah.