Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi entiti terbaru menyahut seruan bagi menjadikan solat fardu Subuh berjemaah sama seperti solat Jumaat.
Justeru, PDRM mengumumkan penganjuran program #GengSubuhMacamJumaatPDRM yang akan berlangsung pada 4 Februari ini di Masjid Bukit Aman, Kuala Lumpur bermula pada jam 5.30 pagi.
Program ini dijangka diserikan kehadiran Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Solat Subuh berjemaah bakal diimamkan oleh Timbalan Pengarah (Bahagian Agama & Kaunseling), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, DCP Dato’ Hj. Ghazali Hj. Daud.
Tazkirah Subuh bakal disampaikan oleh PU Fendi dengan Yabang Khalifah sebagai bilal.
Selebriti yang memulakan kempen Geng Subuh Macam Jumaat, Alif Satar juga bakal memeriahkan program ini. Malah, beliau juga akan turun beriadah bersama para jemaah yang hadir menerusi program Fun Run.
Peserta Fun Run boleh mendapatkan makanan menerusi Fruit Truck yang disediakan untuk para peserta larian.
Sebaik saja program ini dihebahkan di Facebook, ramai pengguna memuji inisiatif sosial yang digerakkan oleh PDRM itu.
Sejak kempen Geng Subuh Macam Jumaat digerakkan oleh Alif sejak November 2023, kempen ini mendapat sambutan menggalakkan daripada ramai pihak.
Ini mendorong ramai pihak termasuk pengurusan masjid dan figura terkenal menggerakkan usaha sama. Malah, difahamkan kempen Geng Subuh Macam Jumaat juga mendapat sambutan di luar negara seperti Turkiye dan Indonesia.