Tiga pencipta Malaysia menarik perhatian ramai hari ini kerana menghasilkan teknologi pengecasan tanpa wayar untuk kegunaan di angkasa lepas.
Bank kuasa tanpa wayar untuk teknologi satelit itu dibangunkan oleh trio pereka cipta, Muhammad Mohd Kamil, Muhammad Razlan Dhamir Hamdan dan Lee Guo Rui.
Ketiga-tiga pereka berusia 29 tahun ini mewakili firma teknologi baru dalam industri aeroangkasa, Aphelia.
Aphelia mula mencipta nama apabila mewakili Malaysia untuk Grand Finale Startup World Cup 2023 yang diadakan di Silicon Valley, California, Amerika Syarikat pada 1 Disember tahun lalu.
Teknologi pengecasan tanpa wayar yang dibawa tiga pencipta ini turut menarik perhatian Astrolab.
Astrolab ialah syarikat teknologi yang telah memeterai perjanjian dengan SpaceX untuk membawa perayau (rover) ke bulan. Projek tersebut dijangka bakal direalisasikan pada tahun 2026.
Konsep bank kuasa tanpa wayar untuk satelit ini sama seperti pengecasan tanpa wayar peranti seperti telefon pintar.
Bezanya di sini ialah ia merupakan stesen pengecasan menggunakan isyarat radio sebagai kaedah untuk mengecas satelit. Konsep ini didakwa yang pertama kali digunakan di dunia untuk pengecasan satelit.
Sekiranya kerjasama Aphelia dengan Astrolab berjalan lancar, konsep teknologi ini akan diuji buat kali pertama di bulan.
Teknologi ciptaan tiga pereka negara itu turut membuktikan bahawa Malaysia mampu menghasilkan teknologi baru dan canggih untuk pelbagai tujuan termasuk penjelajahan ke angkasa lepas.