Berita
Khairul Aming

Selepas usahawan dan pempengaruh media sosial terkenal, Khairul Aming melancarkan produk Dendeng Nyet Berapi, produk tersebut mendapat sambutan hangat dalam kalangan pengguna.

Bagaimanapun, ada yang bertanya tentang status halal produk tersebut memandangkan tiada logo halal dikesan pada bungkusan Dendeng Nyet Berapi.

Lantas, Khairul Aming menjelaskan untuk mendapatkan sijil halal bukan sesuatu yang mudah. Ini kerana terdapat beberapa langkah yang perlu diuruskan terlebih dahulu.

Salah satu daripadanya ialah mendapatkan sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk kilang makanan beliau.

Penyampaian sijil dan plak pensijilan MeSTI oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Keselamatan dan Kualiti Makanan), Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Puan Natrah binti Abu Bakar kepada Khairul Aming pada 31 Januari lalu. Sumber: Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan,JKN Kelantan

Khairul Aming melihat menerusi sijil ini, ini akan memudahkan beliau untuk melalui proses-proses seterusnya termasuk sijil halal.

“Selangkah demi selangkah. Pertama, dapatkan sijil MeSTI untuk pastikan kilang bersih dan selamat diluluskan oleh KKM. Yang ini makan masa 2 tahun lebih sebab kita buat kilang dari awal.

“Bukan sehari dua nak siapkan kilang sebab nak tetapkan aliran, pembelian mesin, pengubahsuaian, pengembangan dan sebagainya.

“Tapi alhamdulillah, KKM banyak bagi panduan selama 2 tahun lebih ini and kita baru sahaja dapat sijil MeSTI pada 31 Januari 2024, dua hari sebelum Dendeng Nyet dilancarkan.

“Kemudian kita pergi untuk sijil halal, diikuti oleh Good Manufacturing Practice (GMP) dan Hazard Analysis & Critical Control Point (HACCP) supaya kita boleh sasarkan untuk eksport.

“Itu aliran yang kita sudah rujuk (dengan) semua pihak untuk pastikan semua proses berjalan lancar,” katanya di X.

Ramai pengguna media sosial memuji tindakan pantas Khairul Aming. Ini kerana ini menunjukkan beliau bukan saja cakna dengan komen pengguna.

Malah, ini memberi keyakinan kepada pengguna untuk terus memilih produk keluarannya di pasaran.