Susulan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan kedai ikan singgang di Kampung Baru, ramai warga maya mahu DBKL melaksanakan operasi di Jalan Alor, Bukit Bintang.
Ini kerana kawasan tersebut sentiasa menjadi tumpuan peniaga warga asing berniaga tanpa lesen.
Meskipun tindakan tegas telah dijalankan pihak berkuasa di sekitar Jalan Alor sebelum ini, masih ada warga asing yang berdegil meneruskan kegiatan perniagaan mereka.
Justeru, satu lagi operasi penguatkuasaan dilancarkan DBKL di kawasan berkenaan pada 18 Januari lalu.
Operasi yang dilancarkan secara mengejut ini membabitkan pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti perniagaan termasuk penjaja makanan, minuman, aksesori dan pakaian.
Antara kesalahan yang dikesan DBKL ialah menjalankan perniagaan tanpa lesen, salah guna lesen, halangan tred perniagaan di tempat awam dan penjaja warga asing.
“Melalui tindakan khas dijalankan, DBKL membuat 15 tindakan sita membabitkan dua kes pemilik premis makanan atas kesalahan meletakkan barangan dan peralatan di tempat awam, sembilan kes warganegara menjaja tanpa lesen serta empat kes penjaja warga asing tanpa lesen.
“DBKL turut mengeluarkan satu notis penguatkuasaan dibawah Seksyen 46, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, dua notis kompaun Penjaja Tanpa Lesen dan dua notis kompaun Melantik Pembantu Gerai Warga Asing di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016,” kata DBKL dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, ramai warga maya masih tidak berpuas hati dengan isu ini. Ini kerana walaupun barang telah disita, penjaja warga asing terus menjalankan kegiatan mereka di situ.
Seorang pengguna TikTok bernama zaimihasman percaya perkara ini berlaku disebabkan mereka mampu membayar denda yang dikenakan DBKL.
Apabila mereka membayar denda yang dikenakan, barang yang disita akan dipulangkan. Ini membolehkan mereka kembali berniaga di situ.
Dia percaya situasi mungkin saja berbeza sekiranya peniaga warga asing ini ditahan dan didakwa di mahkamah atas kesalahan undang-undang seperti isu imigresen.
“Kompaun tak banyak, boleh bayar. Cuba dakwa di mahkamah. Berani tak?” katanya di ruang komen TikTok Buletin TV3.
Pandangan tersebut turut dipersetujui seorang lagi pengguna TikTok, Azharuddin72. Beliau melihat kelemahan undang-undang menyebabkan warga asing semakin tidak menghormati undang-undang negara.
“Undang-undang lemah. Warga asing buat main-main sahaja undang-undang kita,” ujarnya.
Untuk makluman, Jalan Alor, Bukit Bintang sentiasa menjadi tumpuan pelancong dan warga kota kerana di sini, terdapat banyak pilihan makanan dari restoran hingga penjaja jalanan.