LaparPo
Najib Razak Terima Pengampunan?
Berita
Budiey/CC BY NC-2.0

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan telah menerima pengampunan oleh Lembaga Pengampunan semalam.

Meskipun ada sumber yang mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia hari ini, masih belum ada pengesahan rasmi daripada pihak kerajaan.

Sebelumnya, pada pagi ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan berhubung pembebasan Najib oleh Lembaga Pengampunan.

Beliau turut menyatakan Lembaga Pengampunan mengadakan mesyuarat di Istana Negara semalam tetapi tidak memaklumkan bila kenyataan rasmi akan dikeluarkan.

Utusan Malaysia kemudiannya memohon maaf dan menarik balik laporan tersebut kerana fakta yang dinyatakan tidak dapat disahkan.

“Oleh itu pihak kami memohon maaf kepada pembaca,” kata portal akhbar itu.

Najib sebelum ini menghadapi hukuman penjara selama 12 tahun dan denda RM210 juta. Ini selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Susulan itu, beliau kemudiannya menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang pada Ogos 2022.

Selain kes SRC International, Najib juga berdepan pertuduhan beberapa kes lain di mahkamah termasuk kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada awal Januari lalu, jurucakap kerajaan merangkap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan perkara membabitkan pengampunan bekas Perdana Menteri itu tidak disentuh dalam mesyuarat Kabinet pada 10 Januari lepas.