Rangkaian pasaraya tempatan terbesar di Malaysia, Mydin merekodkan nilai jualan sebanyak RM3.5 billion setahun.
Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Datuk Wira Ameer Ali Mydin semasa menjadi tetamu program Apa Cerita TV yang dihoskan oleh Tun Asyraf Khalid.
Ameer Ali menyatakan nilai yang disebutnya itu merupakan nilai jualan dan bukannya nilai keuntungan.
“Kita merekodkan (nilai jualan) sebanyak RM3.5 bilion. Jualan ya, bukan untung,” katanya.
Ameer Ali menyifatkan angka itu selaras dengan kedudukan Mydin sebagai antara operator pasaraya terbesar di Malaysia.
Malah, beliau turut mendedahkan ada operator pasaraya lain yang merekodkan nilai jualan sebanyak RM4.5 bilion.
“Itu (angka) yang baik (kerana) kami salah satu daripada operator pasaraya terbesar di Malaysia. Ada yang merekodkan nilai jualan sama (dan) ada juga yang merekodkan nilai jualan sebanyak RM4.5 bilion,” tambahnya.
Secara ringkas, Mydin bermula sebagai sebuah kedai runcit di Kota Bharu, Kelantan pada 1957 yang diasaskan oleh Mydin Mohamed.
Mydin kemudiannya berkembang pada 1979 menerusi pembukaan cawangan pertama di Terengganu.
Selepas Ameer Ali menyertai Mydin, syarikat itu melebarkan sayap ke Lembah Klang menerusi pembukaan cawangan di Jalan Masjid India pada 1989. Sejak itu, Mydin kini memiliki lebih 66 buah cawangan di Malaysia.
Temubual penuh Ameer Ali di Apa Cerita TV telah disiarkan pada 29 Januari lalu.