LaparPo
Mufti Gesa Penganjur Audio Siar Bersama ‘Hot Daddy’ Dihukum
Berita
Ilmuan Darulaman

Mufti Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor merasa kecewa dengan tindakan sebuah program podcast menjemput seorang individu yang dipanggil ‘Hot Daddy’ sebagai tetamu mereka.

Ini kerana individu tersebut ketika ini berhadapan dengan pertuduhan menjual video persundalan di mahkamah.

Dengan menjemput individu tersebut, Wan Salim melihat ini sebagai satu cara untuk mempromosikan dan menormalisasikan aktiviti persundalan dalam kalangan masyarakat.

“Sekiranya keadaan ini tidak dikekang atau dicegah, dibimbangi ia akan mempengaruhi remaja dan membawa mereka ke jurang keruntuhan akhlak,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Susulan kemunculan ‘Hot Daddy’ di podcast berkenaan, program tersebut mendapat kecaman warga maya di media sosial.

Meskipun program berkenaan sudah membuat penjelasan di laman Instagram, hantaran tersebut masih gagal meredakan kemarahan orang ramai kepada mereka.

Tambah Wan Salim lagi, perkara ini perlu dipandang serius oleh kerajaan dengan tindakan keras patut diambil ke atas golongan yang mempromosikan aktiviti persundalan dalam masyarakat.

“Sehubungan itu, kita mohon pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mendakwa penganjur podcast berkenaan mengikut undang-undang sedia ada.

“Semoga ia menjadi pengajaran kepada semua pihak dan sebagai satu langkah mencegah tindakan menormalisasikan maksiat di negara ini,” ujarnya.

‘Hot Daddy’ dan dua teman wanitanya didakwa di mahkamah baru-baru ini mengikut Seksyen 372 (1)(e) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 kanun yang sama.

Sekiranya didapati bersalah, ketiga-tiganya berdepan hukuman penjara 15 tahun, sebatan dan denda.