Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yakin bahawa pelarasan tarif air yang bakal bermula pada 1 Februari 2024 depan tidak akan membebankan pengguna.
Menerusi satu kenyataan selepas Majlis Penyerahan Rumah Banglo kepada Johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 2023, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi di Perumahan Wadi Iman Eksklusif, di Tanah Merah, beliau yakin isu beban tidak akan berlaku kerana kajian telah dilakukan sebelum pelarasan dilaksanakan.
“Kajian telah dibuat dan kenaikan itu tidak membebankan pengguna. Di Kelantan sendiri tarif air sudah lama tiada kenaikan.”
Nassuruddin berkata kerajaan negeri turut memberi jaminan perkhidmatan bekalan air yang lebih berkualiti kepada pengguna berikutan pelarasan tarif air itu.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam satu kenyataan memaklumkan pelarasan tarif air itu tidak lagi boleh ditangguhkan.
Hal ini bagi mengelakkan kemapanan industri perkhidmatan air dalam jangka panjang terjejas selain bakal memberikan impak kepada kualiti perkhidmatan bekalan yang dinikmati rakyat.
Pelarasan itu melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.
Sebagai rekod, semakan pelarasan tarif bagi perkhidmatan air di Kelantan kali terakhir dibuat pada tahun 2013.
Jumlah akaun pengguna di Kelantan ialah 276,171 dengan 238,235 daripadanya adalah akaun domestik manakala selebihnya akaun komersial.
Di Selangor, kerajaan negeri akan mengambil beberapa langkah bagi membantu pemegang akaun Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berdepan tarif air baharu mulai 1 Februari depan.