Umat Islam di Malaysia kini berpeluang menyaksikan kisah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w secara maya.
Inisiatif penyampaian secara maya kisah Rasulullah s.a.w ini digerakkan oleh pusat beli-belah Malakat Mall yang terletak di Cyberjaya.
Ada empat kisah perjuangan baginda yang dipaparkan dengan teknologi 6D maya yang terkini.
Empat kisah tersebut ialah Maulid (kelahiran Rasulullah s.a.w), Mekah (fasa dakwah baginda semasa di kota Makkah), Isra’ Mikraj dan Hijrah (penghijrahan baginda ke Madinah).
Pengguna boleh menyaksikan kisah-kisah ini pada harga berpatutan iaitu RM30 di tingkat bawah Malakat Mall.
Ramai pengguna yang menonton kisah Rasulullah s.a.w secara maya ini merasa sebak dan menitiskan air mata sebaik tamat kisah yang dipilih mereka.
Antara pengguna yang sudah merasai sendiri pengalaman ini ialah aktivis kemanusiaan dan penyanyi terkenal, Heliza dan Hazwani Helmi.
Hazwani mengakui sebaik menonton kisah perjuangan baginda secara maya, beliau seolah-olah berada dalam dunia yang dinyatakan itu.
Penyanyi berusia 26 tahun itu turut mengakui merasa seronok dan menganggap ia satu pengalaman berharga yang tidak akan dilupakan.
“Perasaan sedih dan kemudiannya seronok kerana dapat rasa perjuangan Rasulullah s.a.w itu. Macam dapat rasa benda itu terjadi secara nyata.
“Baru dapat rasa ini pengorbanan Rasulullah s.a.w, macam seolah-olah kita berada dalam dunia itu. Kita boleh bergerak dan (cium) bau (dalam dunia itu).
“Kita rasa kita bukan di Malakat Mall tetapi seolah-olah berada dalam dunia itu. Wajib datang (ke) sini (Malakat Mall) dan cuba rasai sendiri pengalaman ini,” katanya di Instagram Malakat Mall.
Selain mereka, selebriti lain seperti Zahid AF dan Zizi Kirana turut merasai pengalaman maya kisah Nabi Muhammad s.a.w di Malakat Mall.