LaparPo
Menara Merdeka 118 Bakal Kehilangan Status Menara Kedua Tertinggi Di Dunia?
Berita
Tourism Malaysia

Ketika ini, Menara Warisan Merdeka atau Merdeka 118 memegang status sebagai menara kedua tertinggi di dunia.

Bagaimanapun, status ini bakal berubah apabila bangunan pencakar langit terbaru Dubai, Burj Azizi siap dibina pada tahun 2028.

Akhbar The National melaporkan kerja-kerja pembinaan Burj Azizi sudah mula dilaksanakan sejak Januari lalu. Bagaimanapun, Azizi Developments yang bertanggungjawab membina menara itu tidak mendedahkan ketinggian sebenar bangunan.

Ini kerana cadangan ketinggian Burj Azizi sedang dinilai oleh pihak berkuasa Dubai. Azizi Developments telah mengesahkan bahawa bangunan tersebut bakal menjadi bangunan kedua tertinggi di Dubai.

Kos pembinaan dijangka mencecah AS$1.5 bilion (RM7.17 bilion). Burj Azizi dijangka menempatkan emper dan apartmen mewah, hotel berstatus tujuh bintang, dek pemerhatian dan restoran mewah.

Dubai kini memiliki menara tertinggi di dunia iaitu Burj Khalifa dengan ketinggian 829.8 meter.

Merdeka 118 yang dimiliki Permodalan Nasional Bhd (PNB) menerusi anak syarikatnya, PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd merupakan menara kedua tertinggi di dunia dengan ketinggian 679 meter.

Rekod ini mengatasi Shanghai Tower di Shanghai, China yang memiliki ketinggian 632 meter. Merdeka 118 terletak bersebelahan dengan Stadium Merdeka.

Menara ini memiliki dek pemerhatian tertinggi di Asia Tenggara, 118 Mall, Park Hyatt Kuala Lumpur, Masjid Merdeka, pusat jagaan kanak-kanak PNB dan kediaman premium.

Mula dibuka pada November lalu, Merdeka 118 dirasmikan oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 10 Januari lalu.

Malaysia memiliki beberapa bangunan pencakar langit yang pernah mencipta rekod dunia. Sebelum ini, Menara Berkembar Petronas merupakan menara tertinggi di dunia dengan ketinggian 451.9 meter sebelum dipintas mercu tanda Taiwan, Taipei 101.

Meskipun kehilangan rekod berkenaan, Menara Berkembar Petronas kekal memegang rekod sebagai menara berkembar tertinggi di dunia.